Dua wanita tempatan ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan dua lelaki warga Bangladesh oleh penguat kuasa
Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam bilik berasingan selepas pemeriksaan di sebuah rumah tumpangan di Lunas, hari ini.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad, memaklumkan bahawa
pemeriksaan dilakukan dengan bantuan polis setelah pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
Menurut Anwar, pemeriksaan di bilik pertama pada pukul 11.30 pagi mendapati
seorang wanita berstatus isteri dan ibu kepada empat anak, berada berdua-duaan dengan seorang lelaki Bangladesh.
“Wanita berusia 38 tahun itu tinggal di daerah Kulim dan memberikan alasan kepada suaminya bahawa dia akan mengambil lesen memandu pada hari kejadian.
“Wanita tersebut datang bersama seorang lagi rakan wanitanya berusia 26 tahun, yang turut ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki Bangladesh berusia 35 tahun di bilik berasingan pada pukul 12.45 tengah hari,” katanya.
Anwar menjelaskan bahawa kedua-dua wanita tersebut bekerja di sebuah kilang plastik dan mengenali lelaki-lelaki tersebut melalui aplikasi WeChat.
Wanita yang ditahan di bilik kedua juga telah berkahwin selama tujuh tahun tetapi belum mempunyai anak.
“Dia turut memberi alasan kepada suaminya bahawa dia akan mengambil lesen memandu bersama rakannya,” tambahnya.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Lunas untuk laporan tangkapan sebelum diambil keterangan lanjut.
BACA: Asnaf pernah tular hidup bawah jambatan rupanya ketagih syabu, selesa jadi gelandangan