Beri laluan bertanding Seremban, MCA kata TIDAK kepada Umno

Beri laluan bertanding Seremban, MCA kata TIDAK kepada Umno

Ketua MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon berkata, pihaknya tidak akan mempertimbang untuk memberi laluan kepada parti seangkatan lain untuk bertanding kerusi Parlimen Seremban dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, MCA Negeri Sembilan dan MCA Bahagian Seremban juga tidak akan bertolak ansur dalam soal itu.

“Sehingga hari ini, kami tidak mendengar bahawa majlis tertinggi Barisan Nasional (BN) mahu menyelaraskan semula pengagihan kerusi.

“MCA Negeri Sembilan sudah ada kesepakatan dan kami turut menyatakan ketegasan dalam hal ini kepada presiden parti,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Seremban Zool Amali Hussin supaya UMNO atau Pas bertanding di Seremban hanyalah suara individu.

Koi Voon berkata, beliau telah bertemu dengan Ketua UMNO Seremban, Mustafa Salim yang memberitahu bahawa isu itu tidak pernah dibangkitkan dalam UMNO bahagian, tetapi hanya dibincang dalam peringkat sayap pemuda.

Koi Voon berpendapat alasan supaya kerusi Seremban diserah kepada UMNO berikutan penurunan peratusan pengundi Cina dan kekalahan MCA selama tiga kali adalah tidak kukuh.

Beliau berkata, sekiranya alasan komposisi kaum digunakan, maka MIC tidak akan mempunyai kerusi di seluruh negara.

“MIC adalah berasaskan kaum India, tetapi manakah kerusi yang mempunyai majoriti kaum India di negara ini?

“Jika komposisi kaum dijadikan satu-satu pertimbangan, maka tidak akan wujud kerusi yang sesuai untuk MIC,” katanya.

Zool AmalI dilaporkan berasa malu dengan kekalahan tiga kali MCA di kerusi Seremban dan mencadangkan calon UMNO atau Pas untuk menggantikan MCA di Seremban.

Beliau turut mencadangkan calon MIC menggantikan MCA untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai yang terletak dalam kerusi Parlimen Seremban. – MalaysiaGazette

Berita penuh :

https://malaysiagazette.com/2020/07/18/mca-enggan-beri-laluan-di-seremban/