Benarkah kem Zahid dan kem Ismail Sabri sudah berdamai?

Zahid

Benarkah kem Zahid dan kem Ismail Sabri sudah berdamai.Politik balas dendam dalam Umno tidak mungkin berlaku apabila Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kerana ia tidak menguntungkan.

Namun, kata penganalisis politik, hubungan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail mestilah tidak boleh dalam keadaan dingin.

Menurut Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, sekiranya hubungan kedua-duanya masih dingin, sudah tentu Ismail akan mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Jika ini berlaku, perpecahan dalaman Umno berlaku dan ini tidak akan menguntungkan Umno untuk menghadapi PRU ke-15.

“Pada masa ini politik balas dendam tidak wajar berlaku kerana boleh memecahkan Umno sendiri.

Zahid

“Malah presiden Umno dan MKT (ahli majlis kerja tertinggi Umno) sudah membuka ruang kepada Ismail Sabri walaupun dia sebelum ini tak ikut arahan parti untuk keluar dari Perikatan Nasional,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, apa berlaku adalah sebaliknya apabila Ismail turut mendapat sokongan 15 ahli parlimen dari parti itu, di mana mustahil untuk Ismail mendapat majoriti mudah untuk menjadi calon perdana menteri tanpa tambahan daripada 15 ahli parlimen tersebut.

Untuk rekod, parlimen memiliki 220 kerusi, yang bermaksud sokongan sekurang-kurangnya 111 anggota parlimen diperlukan untuk membentuk kerajaan baru.

Awal bulan ini, sebanyak 15 ahli parlimen Umno yang diketuai oleh Zahid telah mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap pentadbiran PN dan Muhyiddin.

Susulan itu, wujud dua kumpulan dalam Umno yang mempunyai perpezaan pendirian berhubung sokongan terhadap Muhyiddin dan PN.

Kumpulan yang diterajui Ismail Sabri tidak menghiraukan ketetapan Umno untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Rata-rata yang bersama kumpulan Ismail Sabri mempunyai jawatan dalam kabinet serta timbalan menteri.

Terdapat juga ahli parlimen dari parti itu seperti Noraini Ahmad dan Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan dalam kerajaan.

Laluan cerah Ismail ganti presiden

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar melihat, tindakan ahli parlimen Umno menyokong Ismail Sabri merupakan langkah kompromi antara kumpulan presiden dan naib presiden Umno itu.

Bagaimanapun, Hisommudin menjangkakan terdapat laluan yang cerah untuk Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera menggantikan Zahid sebagai presiden parti pada pemilihan Umno akan datang.

“Saya tak melihat perkara itu berlaku kerana apabila Umno mengambil keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri, itu adalah bagi saya mereka telah mencapai kata sepakat, kompromi dan melihat parti lebih utama daripada individu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, walaupun pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri tidak menimbulkan rasa teruja terhadap sebahagian pimpinan parti, ketidaksefahaman antara Zahid dan Ismail itu boleh diselesaikan secara dalaman di peringkat Umno.

Ini memandangkan tradisi Umno sebelum ini yang menyaksikan presidennya merupakan perdana menteri.

“Untuk mengembalikan semula tradisi dan budaya politik Umno untuk mendapatkan apa yang dikatakan sokongan seluruh akar umbi Umno, maka Umno selepas ini akan laksanakan pemilihan apabila sampai masa yang sesuai, Ismail Sabri akan dinobatkan presiden Umno,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Hisommudin menjangkakan jika perkara sedemikian terjadi, maka nasib Zahid dalam Umno sama seperti bekas perdana menteri Najib Razak yang tidak mempunyai jawatan utama dalam parti.

Untuk rekod, kira-kira setahun selepas mengundurkan diri sebagai presiden Umno dan pengerusi BN, susulan kekalahan gabungan itu pada PRU ke-14, Najib dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

“Saya nampak itu adalah perkara natural akan berlaku kepada mantan presiden Umno, di mana mereka akan mengambil posisi sebagai penasihat parti dan sebagainya.

“Tetapi melihat kepada kedudukan Zahid sebenarnya, beliau telah pun bersedia untuk berkompromi dan berikan laluan demi kelangsungan politik Umno terus terjaga di bawah kepimpinan Ismail Sabri,” kata Hisommudin.

Zahid ada kekuatan sendiri

Senada dengan Awang Azman dan Hisommudin, Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berpendapat bahawa tiada tindakan balas dendam yang akan dilakukan oleh Ismail Sabri apabila dilantik sebagai perdana menteri.

Malah, dia berkata ia dapat memperkukuhkan lagi persepsi akar umbi Umno terhadap pengorbanan presiden mereka kerana bersetuju menyokong Ismail sebagai perdana menteri.

“Balas dendam yang akan dilaksanakan tidak mungkin kerana Ismail Sabri akur bahawa dalam Umno itu sendiri ada kekuatan Zahid Hamidi – sokongan akar umbi, sokongan ketua bahagian adalah masih menjurus kepada Zahid.

“Akar umbi memahami dan simpati dengan Zahid walaupun kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Ismail Sabri berlaku tapi Zahid sebagai presiden tidak mengambil tindakan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/587884

BACA: Terkini !!! Vaksin satu dos CanSino tiba di KLIA pagi ini

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)