Setiap kali pulang dari tempat kerja dan mendapati rumah dalam keadaan bersepah dan berbau, pasti timbul rasa tertekan serta stres.
Begitulah situasi yang dialami oleh seorang wanita berusia 28 tahun, yang baru 10 bulan mendirikan rumah tangga,
sejak enam bulan lalu apabila keluarga mentuanya mula menumpang di rumahnya.
Menurut wanita tersebut, sebelum ini ibu dan bapa mentuanya tinggal bersama abang sulung suaminya.
Namun, atas sebab ibu mentuanya tidak berkenan dengan birasnya, mereka memutuskan untuk tinggal bersama pasangan ini.
“Masa tu baru empat bulan kahwin. Takkan husband nak cakap tidak. Sekarang dah enam bulan duduk sekali, seksa jiwa,” luahnya dalam satu hantaran di laman X.
Masalah Rumah Tangga Kerana Campur Tangan Mentua
Wanita itu meluahkan rasa geramnya kerana mentua dan adik iparnya, yang turut tinggal bersama, tidak menjaga adab sebagai orang menumpang.
Dia berkongsi, rumah tersebut dibeli suaminya, manakala bil utiliti dan internet ditanggung olehnya. Namun, sejak mentuanya tinggal bersama, perbelanjaan rumah meningkat berkali ganda.
“Ibu mentua bukan seorang yang pengemas. Suka kumpul barang dan tak kemas.
Masak pun tidak. Jadi, kami balik kerja rumah bersepah, dapur penuh dengan pinggan mangkuk.
Setiap kali lepas dobi, bergunung baju atas sofa. Setiap kali balik kerja kena belikan makanan untuk mereka sebab mak mentua malas masak,” tulisnya.
Adik iparnya juga dikatakan tidak membantu menjaga kebersihan rumah, malah bilik air menjadi kotor dan berbau kerana dia gemar menyimpan tuala wanita dalam tandas sepanjang minggu.
Teguran Tidak Diendahkan
Menurut wanita itu lagi, suaminya sudah beberapa kali menegur perkara ini, tetapi tiada perubahan yang berlaku. D
ia kini berasa sangat stres kerana kos kehidupan yang meningkat, tiada privasi, dan keletihan yang bertambah.
Walaupun kasihan dengan suaminya yang serba salah, dia tetap sakit hati dengan keadaan tersebut.
Cadangan Netizen
Di ruangan komen, ramai netizen memberikan pelbagai cadangan untuk membantu wanita tersebut menyelesaikan masalahnya:
“Hubungi biras dan tanya apa yang dia buat sampai mak mentua tak suka. Lepas tu, awak buat perkara yang sama supaya mereka angkat kaki.”
“Minta suami berbincang dengan adik-beradik lain untuk cari rumah sewa buat mak ayah mereka. Kongsi bayar bulan-bulan.”
“Pindah ke rumah sewa yang lebih kecil, supaya mereka tak boleh tinggal bersama.”
Kisah ini menjadi peringatan bahawa campur tangan keluarga dalam perkahwinan boleh menjadi punca ketegangan, dan komunikasi yang baik sangat penting untuk mencari penyelesaian yang terbaik.
BACA: