Bekas setiausaha bahagian sebuah parti politik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas enam pertuduhan membabitkan jenayah pecah amanah, tipu dan curi pada 2019.
Ismarizal Abd Rahman, 50, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.
Terdahulu, tertuduh yang ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, tiba di perkarangan mahkamah diiringi polis sekitar jam 9 pagi.
Ismarizal didakwa menipu Juwanda Jamaludin, 51, dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan projek pembangunan daripada agensi kerajaan dengan cara membuat bayaran kepada penama Amran Putera Asmuni, 48, bagi tujuan melobi.
Ia mendorong Juwanda menyerahkan wang tunai berjumlah RM800, RM2,500, RM5,100 dan RM1,000 kepada tertuduh di mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Tertuduh yang juga bekas Setiausaha BERSATU Arau, didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Ban Yick (Arau) Sdn Bhd dan Kedai Ban Seng Emas Enterprise Cawangan Arau pada 11, 14, 19 dan 30 September 2019.
Ismarizal turut didakwa mencuri seutas loket emas seberat 27.56 gram berharga lebih kurang RM6,223.48 milik Juwanda pada jam antara 9 pagi hingga 5.30 petang di Kedai Ban Seng Emas Enterprise cawangan Arau pada 6 Januari 2020.
Bagi pertuduhan seterusnya, dia yang diamanahkan 11,594 beg minyak masak bernilai RM34,782, menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta itu dengan menjualnya di No 10, Taman Desa Pauh, Arau, antara 3 Mei hingga 13 Jun lalu.
Tertuduh yang diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan, didakwa mengikut Seksyen 420, 379 dan 406 Kanun Keseksaan kerana menipu, curi dan pecah amanah.
Bagi kesalahan menipu dan pecah amanah, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda, manakala bagi kesalahan mencuri, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi semua pertuduhan yang dikenakan.
Setakat awal petang tadi, dia gagal membayar denda berkenaan dan ditahan di Pusat Koreksional Perlis.
Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/845249/bekas-pemimpin-politik-dituduh-pecah-amanah-tipu-dan-curi