Bekas pengerusi SPR cadang guna sistem pilih parti, bukan calon

Perlu ada perubahan dalam sistem pilihan raya dengan mengadakan undian awam untuk parti politik, bukan calon individu, kata bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ini dapat menghalang mana-mana wakil rakyat melompat parti kerana jika berbuat demikian, mereka akan secara automatik kehilangan kerusi.

“Sistem ini lebih adil kerana parti masih mengekalkan kerusi dan dapat melantik orang lain untuk mewakili kawasan berkenaan,” katanya kepada FMT.

Bekas pengerusi SPR cadang guna sistem pilih parti, bukan calon

Malaysia kini mengamalkan sistem FPTP dengan calon yang memperoleh majoriti mudah memenangi kerusi, walaupun calon lain memperoleh gabungan undi lebih banyak.

Walaupun menyokong pilihan raya semula, pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) itu berkata, proses ini bukanlah pilihan terbaik kerana akan memakan masa dan kos lebih tinggi.

“Pilihan raya semula bagus dari segi demokrasi kerana rakyat terlibat sepenuhnya. Rakyat diberi peluang untuk mengundi sama ada wakil rakyat tertentu akan digugurkan kelayakan dan jika bersetuju, ini akan membuka jalan kepada pilihan raya kecil (PRK).

“Bagaimanapun proses ini akan menjadi sangat panjang dan memakan kos lebih tinggi kerana kempen harus dijalankan seperti pilihan raya biasa dan kosnya tinggi,” katanya.

Semalam, bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said berkata, beliau akan mengemukakan satu usul kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membabitkan Rang Undang- Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, Akta Pemecatan Ahli Parlimen adalah langkah terbaik untuk mencegah wakil rakyat melompat parti dengan memberi peluang kepada pengundi menarik balik mandat yang mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka melalui pilihan raya semula.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, cadangan Rashid untuk mengubah sistem pilihan raya dari sistem “First-Past-The-Post” (FPTP) menjadi sistem “Closed List Proportional Representation” (CLPR) akan melibatkan pindaan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan tetapi yang paling penting, memerlukan sokongan secara meluas daripada semua pemegang taruh.

Malaysia kini mengamalkan sistem FPTP dengan calon yang memperoleh majoriti mudah memenangi kerusi, walaupun calon-calon lain memperoleh gabungan undi lebih banyak.

“New Zealand ambil masa lebih 10 tahun sebelum beralih daripada FPTP kepada sistem sekarang yang menerapkan CLPR,” kata Fann.

“Pilihan raya semula akan lebih mudah dilaksanakan dan masih dapat menyokong sebarang perubahan dalam sistem pilihan raya yang dapat mempertahankan beberapa kerusi FPTP.”

Beliau juga berkata, pilihan raya semula akan menjadi mekanisme yang lebih baik berbanding undang-undang anti lompat parti yang hanya akan menafikan hak pengundi untuk mengesahkan atau menolak keputusan wakil mereka.

Fann berkata, undang-undang antilompat parti juga akan berdepan rintangan perlembagaan dalam Perkara 10 yang menjamin kebebasan berpersatuan.

“Bersih menyokong pilihan raya semula sejurus selepas Langkah Sheraton sebagai penyelesaian bagi mencegah lompat parti kerana ia memperkasakan pengundi,” katanya.

“Ini juga mengurangkan kuasa pemimpin parti untuk mengancam Ahli Parlimen yang mungkin, dalam hati nuraninya, tidak bersetuju dengan dasar buruk parti mereka atau terpaksa menyokong pemimpin yang korup.

“Di bawah undang-undang antilompat parti, seorang pemimpin dapat memecat Ahli Parlimen yang kemudian terpaksa meletak jawatan. PRK akan diadakan dan Ahli Parlimen berkenaan tidak akan dapat bertanding selama lima tahun,” katanya.

Katanya, pilihan raya semula mungkin tidak sepenuhnya menghalang lompat parti, tetapi ia akan menyebabkan wakil rakyat berfikir dua kali sebelum bertindak sedemikian.

Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M) juga menyokong Azalina atas usul rang undang-undangnya dengan berkata, ia penting bagi meletakkan semula kuasa dalam tangan masyarakat umum apabila mereka dapat menarik balik sokongan kepada wakil rakyat yang beralih kesetiaan.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata, ini adalah petanda baik untuk memastikan pembaharuan yang dijanjikan dilaksanakan dan keadilan serta pentadbiran awam yang berfungsi akan menjadi standard.

“Ahli Parlimen dan wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundi masing-masing menurut mandat dan tugas yang diberikan kepada mereka, bukan pemimpin parti, kumpulan dan janji-janji jawatan dan ganjaran,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/02/sistem-pilih-parti-bukan-calon-terbaik-kata-bekas-pengerusi-spr/

BACA JUGA : Tular mesej 3 bangla positif Covid-19 ambil vaksin di PPV Adda Height