Bekas juruterbang tak sangka Allah ‘bayar cash’ bagi RM1 juta kepadanya

Oleh GEMILANGDAILY

Seorang bekas juruterbang helikopter Nuri tidak sangka mendapat durian runtuh RM1 juta

apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), semalam.

Memetik Harian Metro, Leftenan Kolonel (B) Mohd Azhar Mohd@Man, 53, yang berasal dari Guar Chempedak, Yan,

Berkata dia terkejut diumum sebagai jutawan hasil usaha menyimpan secara konsisten sejak tahun 2000.

Berkongsi kisahnya, Mohd Azhar berkata, rezeki yang diperolehnya hari ini mungkin kerana dia pernah mewakafkan RM5,000 kepada sebuah sekolah agama untuk membina pagar.

Bekas juruterbang tak sangka Allah ‘bayar cash’ bagi RM1 juta kepadanya

Itu pun selepas seorang ustaz menghubunginya dan meminta pertolongan kerana orang yang sepatutnya membayar wang bina pagar sekolah telah pun meninggal dunia.

“Sebenarnya saya ada kisah di sebalik ini, sebelum ini ada seorang ustaz minta tolong saya untuk bayar kepada kontraktor yang membuat pagar sekolah agama sebanyak RM5,000 (kerana) individu yang mahu wakafkan pagar itu baru meninggal dunia.

“Baki akaun saya ketika itu cuma ada RM1,000, saya terus pindah akaun untuk bayar duit itu.

“Lagi RM4,000 saya beritahu ustaz itu akan bayar kemudian. Tak sangka mungkin kerana asbab saya wakaf RM1,000, hari ini Allah gandakan jadi RM1 juta,” katanya seperti dilapor.

Mohd Azhar kini bertugas secara kontrak sebagai jurulatih simulator helikopter di Kolej Tentera Udara Kepala Batas, Alor Setar.

Bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, rezeki yang diterimanya akan diguna sebaiknya termasuk berkongsi bersama isteri dan anak-anak sebagai simpanan masa depan mereka.

Katanya, wang itu juga akan diguna untuk melunaskan hutang dengan pihak bank termasuk pinjaman perumahan serta membawa keluarga menunaikan umrah.

Baca juga: ‘Duduklah kami bersila sebelah kubur ayah, start baca Yassin, akak tu dah menangis-nangis, rupanya dia tersalah kubur!’