Bekalan air di Terengganu bakal pulih dalam tempoh 18 hari lagi

Bekalan

Bekalan air di Terengganu bakal pulih dalam tempoh 18 hari lagi. Krisis bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berikutan paip dasar Sungai Terengganu pecah buat kali kedua dijangka kembali pulih pada 12 September depan.

Exco Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kerja-kerja baik pulih mengambil masa sehingga 20 hari kerana kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) itu lebih teruk berbanding sebelum ini.

“Kerosakan sebelum ini, paipnya dalam keadaan senget sahaja tapi kali ini paip dalam jajaran yang sama tapi lokasi berlainan dikesan telah patah.

“Berdasarkan penemuan enam penyelam semalam (Isnin), lokasi paip pecah baharu ini adalah sejauh 24 meter dari lokasi paip pecah asal,” katanya dalam sidang akhbar di Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) di sini pada Selasa.

Menurut Dr Mamad, kerosakan dipercayai berpunca daripada kejadian luar jangka selepas kerja baik pulih siap pada 12 Ogos lalu.

Bekalan

Beliau berkata, Satu kini meneliti kaedah pembaikian paling berkesan dengan mengambil kira pelbagai faktor berkaitan supaya paip yang dibaiki lebih kukuh dan tahan lama.

“Kami juga akan fokus kepada kerja-kerja untuk mengaktifkan Loji Bukit Berapit dengan kapasiti 60 juta meter padu yang dijangka dapat beroperasi bulan depan berbanding tarikh sebenar pada Mei 2022,” katanya.

Kata Dr Mamad, bagi memastikan 150,000 pengguna yang terjejas mendapat bekalan air, pihaknya menggerakkan 19 buah lori tangki yang mengisi air di tangki-tangki statik.

Menurutnya, empat buah ‘tanker jumbo’ berkapasiti 30,000 liter dan 38,000 liter turut ditempatkan di empat lokasi selain 200 buah tangki statik bagi memudahkan pengguna.

“Selain itu, Satu juga menyediakan 86 paip pili di beberapa lokasi iaitu jambatan angkat (drawbridge), Kampung Petaling, simpang Bukit Berangan, hadapan Masjid Manir dan Pantai Teluk Ketapang,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, selepas 10 hari siap dibaiki, paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) di dasar Sungai Terengganu dilaporkan pecah lagi pada Isnin.

Seramai 28,700 pengguna di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sebelum ini mengalami gangguan bekalan air selama 12 hari bermula 2 Ogos lalu ekoran paip pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/157436/EDISI/Krisis-air-di-Terengganu-dijangka-hingga-12-September

BACA: Kajian dapati situasi patah hati boleh membawa maut

COMMENTS

Wordpress (0)