Bekalan air bersih mula disalur, bekalan air pulih 3 September – Air Selangor

air

Bekalan air bersih mula disalur, bekalan air pulih 3 September .Bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di semua kawasan terjejas pagi tadi susulan henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran bau.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata, bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan pada 7 pagi tadi secara berperingkat.

Katanya, Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan air di semua kawasan terjejas.

“Bekalan air di semua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat – peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12.00 tengah malam, 3 September,” katanya dalam kenyataan.

air

Terdahulu, media melaporkan LRA Sungai Semenyih itu sudah bersedia beroperasi semula selepas bacaan tahap sifar TON (nombor ambang bangar) tiga kali berturut-turut direkodkan.

Elina berkata, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna dan premis-premis kritikal yang terlibat.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada
lori-lori tangki,” katanya.

Tambah beliau, Air Selangor telah menjalankan ujian kualiti air dan ia mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan dan air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/01/bekalan-air-mula-disalur-semua-463-kawasan-pulih-3-sept-kata-air-selangor/

BACA: Hari ini jadi penentu Ziyad dapat kembali emas atau tidak