Bapa Adib tak tenteram selagi tak tahu siapa pembunuh anaknya

“Kami tidak akan berpuas hati sampai bila-bila jika tidak tahu siapa yang menjadi punca kepada kematian anak kami, Allahyarham Muhammad Adib,” kata Mohd Kassim Abdul Hamid, 66.

Menurutnya, biarpun kejadian tersebut sudah dua tahun berlalu, namun perkara itu tidak pernah padam daripada ingatan mereka dan sehingga kini ternanti-nanti untuk melihat pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jika kes ini tidak dapat diselesaikan, kami akan ingat sampai bila-bila. Kami tidak dapat hidup tenteram. Kami sangat berharap pihak berkaitan dapat menangkap dan membicarakan pelakunya.

“Selepas Mahkamah Koroner memutuskan (pada 27 September 2019) kematian anak kami disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui, sehingga kini kami masih tertunggu-tunggu tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan pihak polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dua atau lebih individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Jelas Takiyuddin, kes kematian anggota bomba itu masih diteruskan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam insiden pada November dua tahun lalu.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/88949