Bantuan RM1,000 tidak cukup kepada mangsa banjir, kata MP Klang

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata bantuan RM1,000 yang diberikan kerajaan kepada mangsa banjir tidak memadai dan mencukupi.

Memetik laporan Malaysiakini, MP Klang itu menyifatkan bantuan tunai RM1,000 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat banjir sebagai “makanan ayam” (terlalu kecil).

Bantuan RM1,000 tidak cukup kepada mangsa banjir, kata MP Klang

Santiago ketika melawat kawasan yang terjejas akibat banjir.

Santiago berkata, “Bantuan RM1,000 ini makanan ayam… ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka walaupun lima peratus.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini kami telah turun padang dan mendapati ramai orang telah kehilangan segala-galanya… perabot mereka, dokumen peribadi, peralatan dapur, segala-galanya.

“Paling teruk, ramai juga yang kehilangan wang. Ramai yang sudahpun menganggur kerana wabak Covid-19.”

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif bantuan untuk mangsa banjir, seperti moratorium pinjaman, pinjaman tanpa faedah untuk membeli barangan rumah, dan bantuan tunai.

Menurutnya lagi, ramai mangsa banjir yang trauma dengan banjir, takut untuk tidur dan menangis melihat hujan.

Justeru Santiago mencadangkan agar bantuan itu dinaikkan kepada minimum RM10,000 setiap keluarga, dengan pilihan bantuan tambahan mengikut kes.

Kerajaan juga harus melihat perkara ini bukan saja sebagai pakej bantuan yang berterusan, tetapi juga sebagai satu cara untuk melonjakkan ekonomi mereka yang terkesan.

Santiago turut mencadangkan kerajaan supaya memberi bantuan sewa RM1,500 kepada peniaga yang terjejas akibat banjir selama dua bulan, memandangkan kesan teruk dialami perniaga kecil.

Pada masa ini, kerajaan memberi RM1,000 bagi setiap keluarga yang terjejas akibat banjir, dan RM5,000 kepada waris mereka yang terkorban dalam bencana alam itu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa mangsa banjir boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, dan pinjaman tanpa faedah sehingga RM5,000 daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membeli barangan rumah.

BACA JUGA : [Video] Trafik tengah sesak, Menteri bawa polis nak lawat kawasan banjir… Sudahnya kena carut…
Media antarabangsa anggap banjir di Malaysia sebagai bencana alam terburuk

CATEGORIES