Banjir : Ceo Apple umum bakal hulur sumbangan kepada Malaysia

Ceo Apple umum bakal hulur sumbangan kepada Malaysia. Beberapa negeri di Malaysia kini dilanda bencana banjir ekoran cuaca hujan berterusan baru-baru ini. Malah sebahagian kawasan terlibat turut mengalami impak yang serius.

Pada masa yang sama, negara jiran Filipina turut dibadai Taufan Rai atau turut dikenali sebagai Odette oleh penduduk setempat. Taufan Rai disifatkan sebagai taufan paling teruk melanda Filipina tahun ini dan telah memakan ratusan korban nyawa.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, memetik laporan Astro Awani, fenomena hujan berterusan di Malaysia kali ini sedikit sebanyak terkesan dari badai taufan tersebut. Namun seperti Filipina, bencana banjir di Malaysia kali ini cukup mendatangkan kesan yang mendalam apabila banyak keluarga yang kehilangan harta benda, tempat tinggal dan sebilangan ahli keluarga.

Turut bersimpati dengan nasib golongan terjejas bencana alam ini, banyak pihak yang tampil membantu untuk meringankan beban mangsa yang terkesan. Tak hanya rakyat Malaysia, bencana alam yang melanda Malaysia baru-baru ini telah mendapat perhatian Ketua Eksekutif (CEO) Apple Inc, Tim Cook yang turut menyampaikan rasa dukacita melalui laman Twitter miliknya.

“Taufan Rai telah mengakibatkan kemusnahan yang bukan sedikit di Filipina dan Malaysia. Banyak keluarga yang kehilangan terlalu banyak. Apple akan menyumbang bagi meringankan beban, membaik pulih dan berusaha untuk membantu pembangunan jangka panjang,” tulis Cook dalam ciapannya.

BACA JUGA : Dah bagi amaran banjir besar…tapi dibalas ‘Take Note’ saja – Pakar Meteorologi

Artikel ini disiarkan pada 22/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)