Bakal calon Parlimen Bandar Tun Razak, Rani Kulup sertai Putra

Bakal calon Parlimen Bandar Tun Razak, Rani Kulup sertai Putra

Aktivis, Abdul Rani Kulup menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Abdul Rani, yang merupakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selama ini saya berjuang, bersuara di depan balai polis, saya menyuarakan masalah rakyat dengan cara report polis hingga orang gelar saya ‘raja report’.

“Saya mahu melibatkan diri dalam politik sebab saya nak kuasa, kalau tak ada kuasa apa pun tak boleh buat. Jadi andai kata saya masuk politik dalam PRU-15, sokonglah saya.

“Ini peluang saya nak ubah landskap politik tanah air, beri saya peluang ke Parlimen supaya saya boleh bersuara demi agama, bangsa,” katanya.

Abdul Rani ditemui pemberita selepas Kongres Kembalikan Hak Yang Hilang anjuran Putra Perak di sini hari ini.

Kongres yang membincangkan isu tanah rizab Melayu itu dirasmikan Pengerusi Putra Perak, Datuk Hamidah Osman manakala penutup oleh Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali.

Menurut Abdul Rani, dia memilih Putra kerana perjuangan dan hala tuju parti itu yang memperjuangan bangsa Melayu, negara dan seluruh rakyat.

“Parti lain kucar kacir, kelam kabut. Putra satu-satunya harapan kepada bangsa Melayu.

“Begitupun saya tak mahu lawan UMNO, Pas, atau parti-parti lain, saya nak rakyat pilih saya ke Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim mengesahkan Abdul Rani sudah menyertai Putra dan akan mengetuai Putra bahagian Bandar Tun Razak yang akan diumumkan pada majlis pelancaran malam esok.

“Sama ada dia akan bertanding (dalam PRU-15) itu saya tak boleh umum secara rasmi sebab Dewan Rakyat tak dibubarkan lagi dan keputusan menjadi calon diputuskan oleh Biro Politik parti tapi dia berpotensi menjadi calon,” katanya.

Berita penuh : https://perakinsights.com/2021/04/11/terkini-rani-kulup-sertai-putra/