Bagaimana rakyat marhaen nak bayar dengan RM10,000? soal aktivis

Bagaimana rakyat marhaen nak bayar dengan RM10,000? soal aktivis

Aktivis pengguna dan ahli ekonomi berkata, tindakan Putrajaya mengenakan hukuman denda sehingga RM10,000 kepada individu atas kesalahan berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah regresif dan menghukum.

Mereka turut mendakwa, ia hanya akan mendorong berlaku lebih banyak rasuah kerana pesalah mungkin akan berusaha mencari ‘jalan keluar’ dengan cara itu.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Jacob George berkata, ia adalah langkah yang mundur bagi negara kerana idea mendenda adalah untuk mendidik masyarakat, dan tidak boleh bersifat menghukum atau berniat jahat.

“Kami menyaksikan dua set undang-undang, di mana menteri dan ahli politik terlepas daripada hukuman. Mereka yang akan didenda hanyalah orang yang tiada kuasa politik.

“Orang seperti Ahmad, Ah Seng dan Arumugam yang berdepan masalah serius ekonomi akan didenda,” katanya, sambil menambah mereka yang tidak dapat membayar denda berkemungkinan akan dipenjara.

George berkata, denda dan saman perlu dikenakan untuk mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan tetapi ia tidak boleh bersifat ditindas atau menindas.

“Kita bukannya dalam situasi hidup dan mati untuk menerapkan undang-undang yang begitu menindas. Mengapa kita melakukan ini? Bagaimana ia boleh dibenarkan? ” soal beliau.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang baharu, diterbitkan di laman web Warta Persekutuan, membenarkan seseorang didenda sehingga RM10,000 kerana melanggar peraturan PKP.

Peraturan itu, yang berkuat kuasa pada 11 Mac, juga menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP akan dikenakan denda hingga RM50,000.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason berkata, ini bukan masa yang tepat untuk menaikkan denda kerana ramai orang hilang pekerjaan dan dipotong gaji.

Katanya, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa juga tinggi.

“Kerajaan hari ini perlu menunjukkan rasa sayang dan mendidik rakyat. Adakah mereka cuba membuat orang ramai muflis?” soalnya.

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, apabila denda dinaikkan secara tidak seimbang, ia akan menjadi masalah kepada golongan berpendapatan rendah.

“Ia sepertinya denda regresif, yang menghukum orang miskin,” katanya kepada FMT.

Katanya, ia juga mendorong kepada perlakuan memberi dan menerima rasuah kerana mereka akan cuba mengelakkan diri daripada didenda.

“Setiap kali anda menaikkan denda ini, orang akan bertindak sama seperti cukai – apabila cukai tinggi, mereka akan berusaha untuk mengelakkannya. Ini mendorong tingkah laku yang buruk. ”

“SOP perlu lebih diperjelaskan. Masih wujud kekeliruan sehingga sukar untuk rakyat mengikuti sebarang perubahan terbaharu dalam peraturan.”

Beliau menggesa Putrajaya untuk memperbaiki cara berkomunikasi dengan orang ramai supaya mereka lebih peka dengan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/26/denda-rm10000-bagaimana-rakyat-marhaen-nak-bayar-soal-aktivis-pengguna/