Bagaimana Labuan mampu menang hadapi serangan varian Delta?

Sebelum Ramadan, Wilayah Persekutuan Labuan antara negeri yang paling selamat. Bilangan kes hariannya begitu rendah dan ada hari-hari yang tiada langsung kes baharu. Labuan juga pada waktu itu hampir diisytiharkan sebagai zon hijau sepenuhnya.

Namun begitu, tanggal 24 April 2021 menyaksikan segala-galanya mula berubah. Serangan varian Delta menjadikan Labuan sebagai negeri yang paling terkesan dengan Covid-19. Situasi tersebut semakin memuncak menjelangnya sambutan hari raya. Kes meningkat mendadak bermula pada minggu epidemiologi ke-19, merekodkan 31 kes disusuli dengan 164 kes pada minggu berikutnya.

Jumlah jangkitan terus meningkat pada minggu epid ke-23 yang menyaksikan Labuan menjadi wilayah merekodkan insiden tertinggi iaitu 1,344 kes bagi 100,000 penduduk dalam masa seminggu.

Susulan peningkatan mendadak kes, selain penularan varian baharu yang lebih merbahaya, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang juga merangkap pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan mengambil pendekatan berani dengan meminta supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Labuan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan situasi daripada menjadi lebih buruk.

Pelbagai rintangan dan juga cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan dan juga petugas barisan hadapan ketika itu untuk mengawal penularan varian baharu di Labuan yang berstatus pulau.

Sebagai sebuah pulau kecil, kemudahan kesihatan adalah sangat terhad dengan keupayaan hospital hanyalah 120 katil. Untuk itu, Annuar telah meminta Jabatan Kesihatan Labuan supaya mempertingkatkan keupayaan rawatan dengan bilangan pakar mencecah 20 orang.

Selain itu, beliau turut meminta pertambahan bilangan pegawai perubatan serta paramedik bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Walaubagaimanapun, keupayaan ini sebenarnya hanya mampu menampung sehingga 200 pesakit sahaja.

Selain daripada kekurangan dari segi keupayaan, pertambahan kes yang mendadak di Labuan yang berstatus pulau telah menyebabkannya terasing dari dunia luar. Ia secara tidak langsung turut telah menjejaskan proses penghantaran bantuan ke sana. Lebih memburukkan keadaan, faktor logistik juga telah menyebabkan pesakit tidak boleh dibawa keluar dari Labuan.

Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi ketika itu adalah kekurangan peralatan perubatan. Pada waktu itu, hanya terdapat lima sahaja katil di wad kecemasan (ICU).

Menyedari hakikat tersebut dan malapetaka yang akan berlaku sekiranya tiada tindakan yang lebih efisien diambil, Jabatan Kesihatan Labuan dengan sokongan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan telah merencanakan program khas untuk memastikan penularan dapat dibendung dalam dua tempoh pengeraman.

Antara program yang telah dijalankan adalah penyusunan semula sumber bagi memaksimakan penggunaan sumber terhad, memperkasakan contact tracing dengan memastikan setiap kes dikaji dan dicari sehingga tiga generasi, penilaian risiko secara harian untuk meneliti kemungkinan jangkitan-jangkitan baharu, pelaksanaan PKPD, program lockdown kendiri dan yang paling penting adalah program pemvaksinan ataupun Ops Vaksinasi.

Sedikit perkembangan mengenai Ops Vaksinasi Labuan, hasil daripada kerjasama di antara pemimpin masyarakat dan juga Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) telah berjaya memastikan kelancaran program pemvaksinan di Labuan.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 86.7% penduduk dewasa Labuan telah menerima dos pertama vaksin dan 48.8% telah lengkap menerima dua dos.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menyasarkan untuk mencapai 100% penduduk dewasa Labuan menerima dos pertama menjelang akhir Julai ini. Kejayaan program pemvaksinan ini juga didorong oleh tindakan efisien Annuar yang memohon secara konsisten kepada kerajaan supaya bekalan vaksin dapat disegerakan untuk warga Labuan.

Selain itu, antara program lain yang dijalankan di Labuan adalah pembersihan melalui Ops Bersih Covid-19 yang menyasarkan targeted mass screening di kawasan yang berisiko tinggi termasuk kawasan Skim Penempatan Masyarakat Perlarian, kawasan setinggan dan kawasan rumah air.

Pihak berkuasa turut tidak ketinggalan daripada memainkan peranan mereka bagi membantu perang melawan Covid-19 di Labuan. Program penguatkuasaan bersepadu yang diketuai oleh PDRM dan semua agensi telah dijalankan bagi memantau pematuhan norma baharu dan SOP. Pihak PDRM juga turut membantu di dalam memastikan program kuarantin di rumah dipatuhi oleh masyarakat.

Annuar sendiri selaku menteri yang diamanahkan untuk menjaga Labuan, terus menampilkan keprihatinannya dengan mengambil tindakan pantas mendapatkan persetujuan daripada Menteri Kanan Pertahanan, yang kini juga adalah Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk mengadakan kolaborasi bersama Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk penghantaran bekalan bagi memastikan warga Labuan tidak terputus bekalan barangan makanan dan keperluan sewaktu pelaksanaan perintah PKPD di negeri itu.

Sebanyak 120 tan bekalan makanan seperti minyak, gula, beras dan PPE dihantar secara berperingkat bermula 18 Jun lalu dengan kerjasama TUDM dan memanfaatkan sebanyak 14,000 keluarga di Labuan.

Tidak cukup dengan itu, Annuar turut mengumumkan bantuan tambahan khusus ekoran PKP di Labuan kepada empat kumpulan terjejas iaitu pengusaha bas mini dan bas sekolah; pemandu teksi; para peniaga belia berdaftar serta penghantar makanan.

Selain itu, Annuar turut mengumumkan pemberian bantuan bakul makanan kepada penduduk di lapan lokaliti yang dikenakan sekatan pergerakan bersasar serta penduduk yang terjejas akibat PKPD. Usaha-usaha ini membuktikan kesungguhan Annuar untuk memastikan tiada mana-mana individu ataupun kumpulan yang tercicir dalam perang melawan Covid-19 ini.

Mengesahkan lagi kenyataan ‘no one left behind’, Annuar turut telah menubuhkan satu task force yang menggabungkan setiap NGO dan juga parti-parti politik yang ada di Labuan tanpa mengira samada mereka dari gabungan kerajaan ataupun pembangkang untuk sama-sama menjayakan usaha-usaha yang dirancang untuk dilaksanakan.

Tindakan-tindakan efisien Annuar dan kerjasama yang padu oleh semua pihak di Labuan terbukti telah menunjukkan hasil. Jumlah kes di pulau tersebut telah menurun daripada 1,344 kes pada minggu epid ke-23 kepada 805 kes pada minggu epid ke-26 dan 501 kes pada minggu epid ke-27. Pada 14 Julai 2021, Labuan hanya mencatatkan 38 kes Covid-19 harian.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) juga telah turun dari 2.4 pada minggu epid ke-23 menjadi 0.88 pada 14 Julai 2021. Selain itu, jumlah katil bagi rawatan dan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah juga telah berkurang dari 679 katil kepada 493 katil pada 14 Julai 2021. Penggunaan katil terkini hanyalah 232 atau 47% daripada katil sedia ada. Bagi katil ICU pula, ketika ini hanya sembilan katil sahaja yang digunakan.

Labuan adalah satu model kejayaan pengurusan gelombang serangan ketiga Covid-19 yang datang dengan varian baharu. Hasil daripada perancangan yang tersusun serta kerjasama yang jitu daripada semua pihak, telah berjaya membawa kepada pengurangan ketara jumlah kes baharu, penggunaan katil hospital yang semakin kurang, peratusan yang tinggi dari segi pemberian vaksin dan juga pembukaan semula secara beransur-ansur sektor sosial dan ekonomi.

Kejayaan Labuan mengekang Covid-19 daripada terus bermaharajalela secara tidak langsung membuktikan bahawa ‘Menang Bersama’ bukanlah hanya sekadar satu slogan semata-mata.

Sebaliknya ia adalah satu kenyataan bahawa peperangan menentang Covid-19 mesti dilakukan bersama-sama. Tanggungjawab memerangi pandemik ini bukan hanya digalas oleh kerajaan, tetapi oleh semua pihak termasuklah pihak swasta dan seluruh rakyat di negara ini.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/583895

BACA JUGA : Boikot bukan jalan terbaik walau sidang khas tak berpelembagaan

COMMENTS

Wordpress (0)