Azmin patut bincang kewajaran PKPB di Dewan Rakyat, bukan ugut

Rentetan dari arahan terbaru kerajaan #PB yang membuat arahan baru PKPB yang dilaksanakan secara tergesa gesa pada 4hb Mei 2020 . Banyak permasalahan timbul terutama yang melibatkan Pihak Berkuasa Negeri. Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali seolah hilang sabar dengan mengugut Pihak berkuasa negeri untuk disaman jika ingkar dengan arahan PKPB ini.

Ts Muhyiddin Yassin yang mengepalai kerajaan Persekutuan #PB ini telah membentangkan tempoh PKP sehingga 12hb Mei 2020. Maka bersiap siagalah semua Pihak berkuasa negeri dan Pihak berkuasa tempatan untuk mematuhi arahan lanjutan PKP fasa ke 4 . Rakyat juga akur untuk duduk dirumah dalam tempoh pkp 4 ini.

Namun , belum sampai separuh tempoh PKP fasa 4 kerajaan membuat arahan baru PKPB yang mana arahan ini kontradik dengan arahan sebelum ini. Hampir semua sektor ekonomi dibuka semula sebelum tamat tempoh PKP fasa 4 ini.
Ini menyebabkan Pihak Berkuasa negeri agak kucar kacir apatah lagi bagi negeri negeri yang masih berada didalam zon merah .

Timbul tanda tanya juga kenapa arahan ini dibuat secara tergesa gesa. Apakah tiada perbincangan khusus antara wakil negeri negeri untuk mencari penyelesaian yang terbaik untuk semua.Dan ini dizahirkan apabila 8 buah negeri tidak mengikuti arahan PKPB ini secara total dan diubah mengikut kesesuaian terkini di negeri masing masing.

Langkah negeri negeri yang tidak mengikuti arahan PKPB ini dilihat mencabar kredibiliti kerajaan pusat dan ini memperlihatkan kelemahan pentadbiran kerajaan persekutuan menyelaras arahan ketika PKP ini.Dan ini adalah julung kali kerajaan negeri secara terang terangan tidak akur kepada aturan arahan PKPB secara total. Kredibiliti menteri kanan ekonomi Azmin Ali tercalar dan dilihat tidak menjadikan medan perbincangan untuk sesuatu polisi atau arahan dan hanya mahu semua orang mengikut selera arahan dia sahaja.

Jika dilihat isu ini dari sisi pandang politik, Azmin Ali dan kerajaan yang ada pada hari ini tidak ada kekuatan . 8 buah negeri ini jika Ahli Parlimennya menyokong usul tidak percaya kepada Perdana menteri ditambah dari MP PH maka cukup bilangan untuk diluluskan. Azmin Ali sedar atau tidak perkara ini dan jika berlaku Pilihanraya Umum saya merasakan Azmin Ali tidak ada sokongan untuk bertanding di dalam kawasan 8 buah negeri ini termasuk Selangor.!

Oleh kerana merasakan kredibiliti telah tercalar Azmin Ali mengeluarkan kenyataan kerajaan berkuasa negeri boleh disaman. Ini dilihat seolah mengugut kerajaan negeri yang telah dipilih secara sah oleh rakyat ketika pilihanraya dahulu.Tindakan Azmin Ali ini semakin memperlihatkan kepincangan kepada arahan PKPB ini dan jelas arahan ini tidak dibincangkan bersama kerajaan negeri . Sedangkan perlaksanaan PKPB ini adalah diperingkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan (PBT). Sungguh memalukan arahan Menteri kanan Ekonomi ini tidak dipatuhi dek kerana tidak sesuai dengan negeri negeri yang telah bertungkus lumus dalam memutuskan rantaian Covid 19 .

Oleh yang demikian , saya merasakan medan yang sesuai untuk diberi penjelasan oleh Menteri Kanan Ekonomi ini ialah di dewan rakyat. Ahli Parlimen boleh mendapatkan informasi terus dari Azmin Ali ketika beliau membentangkan perkara ini didalam parlimen. Rakyat akan mendapat informasi yang tepat kenapa kerajaan persekutuan mengeluarkan arahan PKPB ini dan apa strategi didalam PKPB ini. Rakyat sedang menanggung risiko dengan arahan PKPB ini. Maka sewajarnya lah PKPB ini dibentangkan didalam sidang dewan rakyat bulan ini dan dibincangkan. Jika tidak kredibiliti kerajaan persekutuan dan menteri kanan ekonomi itu sendiri akan terus tercalar dan rakyat gusar dengan arahan PKPB yang mengatasi arahan PKP sebelum ini.

Perlu diingatkan juga kerajaan persekutuan Malaysia hari ini bukan pilihan rakyat dan inilah masa yang sesuai untuk memujuk rakyat diatas langkah sheraton dengan membentangkan didalam sidang dewan rakyat pada bulan ini.

-Abbas Azmi-
5hb Mei 2020

Sumber :