Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof memohon maaf kepada penyumbang yang memberikan sumbangan untuk membantu penduduk di kawasan Shah Alam kerana ia tidak boleh disampaikan kepada mereka yang memerlukan sekarang kerana wang itu ditahan oleh pihak polis.
Azlli dalam satu kenyataannya kepada Malasia Dateline berkata, polis telah mengambil wang itu yang disimpan di rumahnya sebelum ia digunakan, bagi membantu siasatan mereka terhadap satu siasatan penipuan yang kemudian dikaitkan dengan beliau.
“Saya memohon maaf kepada para dermawan dan penyumbang-penyumbang kerana sejumlah wang telah disumbangkan telah ditahan oleh pihak berkuasa untuk membantu proses siasatan.
“Sumbangan-sumbangan ini tidak dapat disampaikan kepada yang memerlukan untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 yang berpanjangan, Ramadhan yang berbaki, Persiapan Sambutan Aidil Fitri serta bantuan dan keperluan lain yang diperlukan oleh masyarakat dari masa ke semasa.
“Saya dimaklumkan wang dari sumbangan-sumbangan ini akan dikembalikan apabila urusan kes ini selesai nanti,” kata Azli kepada Malaysia Dateline.
AMANAH kawasan Shah Alam banyak membantu penduduk kawasan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan akibat penularan wabak Covid-19. Mereka sekarang sedang membuat persiapan untuk membantu penduduk Shah Alam yang bermasalah untuk menyambut Hari Raya selepas sambutan Ramadhan.
.
Khalid Samad, ahli Parlimen kawasan itu banyak menerima sumbangan dari orang ramai untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan selain menggunakan wang beliau sendiri.
Azli disiasat oleh polis berikutan siasatan mereka terhadap sepasang suami isteri yang didakwa menipu seorang arkitek untuk mendapatkan kelulusan sebuah projek di Kuala Lumpur.
“Saya ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Komersil IPD Brickfield kerana saya dikaitkan oleh broker dengan sebuah aduan oleh arkitek yang memohon bantuan broker untuk mendapatkan kelulusan sebuah projek pembangunan di KL,” kata Azli.
Aduan dibuat kerana arkitek mendapati dokumen kebenaran merancang (DO) yang diberikan kepada mereka didapati adalah palsu.
“Broker mendakwa bahawa saya terlibat memberikan dokumen tersebut. Saya telah menafikan dakwaan itu kerana saya sangat memahami bahawa DO hanya boleh dikeluarkan oleh Pihak DBKL terus kepada pihak arkitek atau konsultan.
“Tidak pernah DO rasmi diberikan kepada mana-mana pegawai menteri untuk diserahkan kepada pihak pemohon,” kata Azli.
Azli disiasat apabila broker berkenaan telah mengaitkan bahawa beliau terlibat dalam habuan dari kelulusan dokumen (palsu) tersebut yang diberikan oleh pihak arkitek.
“Sedangkan saya tidak mengambil apa-apa habuan dari perkhidmatan oleh broker kepada arkitek tersebut,” kata Azli yang merupakan Ketua AMANAH Shah Alam.
Menurut Azli, broker itu telah menyamar sebagai diri beliau menggunakan aplikasi whatsapp dalam komunikasi dengan pihak arkitek untuk meyakin mereka bahawa seolah-olah kelulusan dokumen itu benar.
“Saya telah memberikan keterangan kepada pihak siasatan jenayah mengikut apa yang telah terjadi dan menafikan terlibat dengan pemalsuan dokumen, perbincangan dengan arkitek dan penerimaan apa-apa habuan dari urusan mereka,” kata Azli lagi.
Khalid sebelum ini mengesahkan bekas setiausaha politiknya, Azli Yusuf ditahan polis Jumaat lepas selama 24 jam dan kini sudah dibebaskan.
Khalid berkata, penahanan itu berdasarkan aduan daripada sebuah syarikat arkitek yang mendakwa menerima Arahan Pembangunan (DO) palsu daripada seorang “broker”.
Anggota Parlimen Shah Alam itu mendakwa broker berkenaan menggunakan nama Azli yang dikatakan telah mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya.
“Saya tidak boleh menceritakan lebih dari itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis.
“Saya diberitahu broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama (Azli) ini.
“Kepercayaan ‘cash is king’ memungkinkan broker berjaya. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya,” katanya di Twitter.
Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/azli-minta-maaf-kepada-penyumbang-kerana-wang-mereka-ditahan-polis/