Ayob Khan tunjuk skill tebar roti canai…

Ayob Khan tunjuk skill tebar roti canai…

Jika anda menyangka Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay hanya hebat membanteras pengganas dan sindiket jenayah besar, ternyata anda silap.

Beliau yang pernah mengetuai bahagian antikeganasan Bukit Aman dan kini giat membanteras jenayah selepas dipindahkan ke Johor tahun lalu, menunjukkan kemahiran menebar roti canai pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Ayob dilihat bersahaja menebar adunan tepung dalam video tular berdurasi satu minit, telah menarik perhatian wartawan dan pegawainya yang terpegun melihat aksinya menebar roti canai.

Secara kebetulan, dalam catatan Instagram yang tidak bertarikh, Ayob memuat naik gambarnya ketika usia remaja pada 1978, sedang membuat roti canai di kedai kopi milik keluarga di kampung halamannya di Pendang, Kedah.

“ayubkhanmydin 1978 – Kedai Kopi Mydin, Tanah Merah, Pendang, Kedah. Kami tidak dapat melupakan siapa kami atau dari mana kami datang,” katanya.

Ayob kemudian memberitahu Utusan Malaysia bahawa beliau berharap program sahur itu dapat mengeratkan hubungan kerja antara pihak berkuasa, kerajaan negeri dan media.

“Sumbangan media dari segi laporan berita yang dikongsikan berhubung kejayaan polis Johor amat besar ertinya,” kata Ayob.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Besar, Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang.

Penganjur Singgah Sahur juga mengagihkan makanan kepada mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin Covid-19 di Stadium Tertutup Pasir Gudang, selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat Johor serta kakitangan Hospital Sultanah Aminah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/24/hebat-banteras-jenayah-ayob-juga-handal-tebar-roti-canai/

COMMENTS