Awas !!! Varian Omicron semakin menghampiri Malaysia – Timb Menteri

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa varian Omicron yang ditemui di Afrika Selatan kini sudah semakin dekat dengan negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, varian itu kini sudah ditemui di Hong Kong dan rakyat perlu lebih patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) agar varian itu tidak tembus ke negara ini.

“Biar pun kita sudah bebas tapi rakyat mesti menyedari perkara ini supaya kita dapat menghindari daripada kena Covid-19 lagi sekali dan merupakan yang lebih serius.

Varian Omicron semakin menghampiri Malaysia - Timb Menteri

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

“Dengan kewujudan varian baharu yang disebut Omicron ini yang telah dijumpai di Afrika Selatan dan yang terkini di Hong Kong, ia sudah dekat dengan kawasan kita,” katanya memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan varian baharu Covid-19, B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan (VOC) yang dinamakan semula sebagai Omicron.

Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan baru-baru ini, dalam kategori varian Covid-19 paling membimbangkan bersama-sama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

Justeru itu, kerajaan katanya akan mengambil langkah lebih drastik dengan mengetatkan kawalan di mana tidak membenarkan rakyat-rakyat dari negara-negara terlibat untuk memasuki negara ini.

Oleh yang demikian, Azmi berkata, rakyat negara ini disyorkan untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bagi melindungi diri sepenuhnya daripada varian baharu yang berbahaya itu.

“Omicron ini dikatakan satu varian yang mungkin lebih bahaya daripada Delta dan mempunyai 32 mutasi protein berbanding Delta yang mempunyai hanya 9 mutasi protein.

“WHO telah menamakan dia Omicron B11529 ini dan telah menjadikan dia salah satu daripada VOC, jadi kita tidka tahu sejauh mana teruk varian ini boleh pergi. Kita tidak tahu sejauh mana vaksin boleh menangkis varian ini dan kita tidak tahu ubat yang ada sekarang dapat merawat penyakit ini.

“Walaupun kita sudah berada di Fasa 4 PPN dan bebas bergerak dan mengadakan aktiviti sosial dan ekonomi, rakyat mesti sama-sama menyedari perkara ini supaya kita dapat menghindari daripada kena Covid-19 lagi sekali dan merupakan yang lebih serius,” katanya lagi.

Untuk rekod, minggu lalu varian itu telah dilaporkan buat pertama kali kepada WHO dari Afrika Selatan.

Jangkitan pertama varian Omicron yang disahkan adalah daripada satu spesimen dikumpulkan pada 9 November lalu.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, jangkitan di Afrika Selatan meningkat secara mendadak, bertepatan dengan pengesanan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM memaklumkan akan memulakan proses vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak lima hingga 11 tahun.

“Kenapa kita hendak merujuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun untuk vaksinasi adalah kerana kita nak melindungi anak-anak seperti mana yang telah kita jalankan kepada remaja 12 hingga 17 tahun dimana mencapai 85.9 peratus.

“Kita yakin dengan usaha kita ini dapat memberikan mereka keselamatan lebih untuk kembali ke sekolah,” katanya lagi.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.

Pilihan vaksin lain seperti vaksin Sinovac juga akan diberi pertimbangan untuk pemberian vaksin terhadap golongan tersebut, katanya.

BACA JUGA : Sepatutnya ‘Nu’ tapi WHO namakan ‘Omicron’, ini sebabnya…
Penting ambik dos penggalak dengan kehadiran Omicron – Timb Menteri

CATEGORIES