Awas !!! Teknik terbaru Ah Long malukan mangsa, viral gambar bukan-bukan di media sosial

Awas !!! Teknik terbaru Ah Long malukan mangsa, viral gambar bukan-bukan di media sosial

Sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘ah long’ kini menggunakan taktik dengan menular gambar peminjam wang menerusi media sosial bertujuan untuk mengaibkan mangsa sebagai usaha memaksa peminjam membayar balik pinjaman.

Malah sindiket ini juga akan mengedar gambar-gambar peminjam di kawasan tempat tinggal mereka berserta tulisan mengaibkan untuk memalukan mangsa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada seorang peniaga dari Bayan Lepas yang mendakwa telah diugut oleh sindiket terbabit.

Katanya, satu serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Barat Daya yang kemudiannya berjaya membongkar kegiatan tersebut selepas menahan dua lelaki warga tempatan.

Kedua-dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun itu di tahan di sebuah rumah di Taman Kemuning, Kulim, Kedah dalam ‘Op Vulture’ pada Selasa lepas.

Anbalagan berkata, siasatan polis juga mendapati suspek terlibat dengan sindiket ah long itu sejak empat tahun lepas dan kumpulan itu dipercayai mempunyai sumber kewangan sendiri dan mampu memberi pinjaman kepada orang ramai.

“Suspek akan menularkan gambar peminjam yang gagal bayar pinjaman dalam media sosial dan akan mengedarkan poster di kawasan tempat tinggal mangsa, bertujuan mengaibkan mangsa bagi membuatkan peminjam berusaha bayar balik pinjaman tersebut,” ujar Anbalagan.

Anbalagan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu barang yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang termasuk beberapa salinan kad pengenalan, sampul surat beralamat peminjam di beberapa negeri, beberapa keping cek, kad debit dan telefon bimbit.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek negatif namun salah seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1985.

Suspek direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Anbalagan berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Balik Pulau pada Jumaat.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tular-gambar-di-media-sosial-taktik-terkini-ah-long-untuk-aibkan-mangsa-287614