AWAN nyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden AMANAH

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) memandang serius sekaligus menyokong segala usaha yang telah dan berterusan diambil oleh Presiden dan Pasukan Perunding Parti AMANAH Negara untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dirampas di pertengahan pentadbiran Pakatan Harapan. Kami juga mengambil maklum akan beberapa keputusan penting parti bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan khususnya berhubung …

▪︎ Bahawa BERSATU Berprinsip (Tun dan 5 MP) dan WARISAN adalah kawan dan bukannya lawan ;
▪︎ Bahawa segala usaha bagi mengambil kembali mandat rakyat wajib dijayakan ;
▪︎ Bahawa dalam merealisasikan matlamat itu, maka kerjasama dengan semua pihak yang mendokong hasrat bersama perlu terus diperluas dan diperkukuhkan ;
▪︎ Bahawa pada masa yang sama parti dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ‘snap election’, PRU15 ;
▪︎ Bahawa Speaker Dewan Rakyat wajib dipertahankan daripada sebarang usaha penyingkiran sepertimana yang telah diusulkan oleh PM8, TS Muhyidin Yasin menjelang Sidang Parlimen bermula 13 Julai ini.

Kami juga memandang serius berhubung pendirian enam Ahli Parlimen BERSATU Berprinsip yang diketuai oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bergerak sebagai Blok Bebas bersama Warisan dan kekal melawan Perikatan Nasional serta akan mempertahankan Speaker Dewan Rakyat dalam undian Usul Penyingkirannya pada 13 Julai, Isnin akan datang ini.

Sehubungan itu, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan terbuka YB Tuan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Sdr Haji Mohamad Sabu, untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang Perikatan Nasional, sekaligus mengambil usaha bagi mengembalikan mandat rakyat dan mempertahankan Speaker Dewan Rakyat.

Blok BERSATU Berprinsip dan WARISAN sejak awal telah bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebelum PRU-14 dalam usaha kita menumbangkan Regim Zalim Kleptokrasi sehingga kita sama-sama berjaya membentuk kerajaan Pakatan Harapan dan Warisan. Setelah Kerajaan Pintu Belakang dibentuk, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan terus konsisten untuk tidak bekerjasama, bahkan sebaliknya menolak kerajaan Perikatan Nasional. Justeru itu, kami percaya bahawa tidak ada sebab untuk AMANAH tidak bekerjasama dengan blok BERSATU Berprinsip dan WARISAN, di bawah kepimpinan YABbhg Tun dan juga YAB DS Shafie Apdal.

Kami yakin dan percaya bahawa segala usaha mengembalikan mandat rakyat boleh dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak yang mempunyai misi dan objektif yang sama iaitu menolak Kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk tanpa mandat rakyat yang sah.

Kami menyeru semua pihak untuk terus berpadu tenaga, serius dan bersungguh-sungguh bagi memastikan negara ini dapat diselamatkan daripada para pemuka kleptokrat yang kini turut sama bergabung membentuk kerajaan rapuh Perikatan Nasional.

#KembalikanMandatRakyat
#CitaCintaUntukMalaysia

SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional,
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Kuala Lumpur,
11 Julai 2020 | 20 Zulkaedah 1441H