Awan gelap selubungi Gunung Jerai, penduduk dilanda ketakutan

Penduduk yang tinggal di kaki Gunung Jerai sekali lagi dilanda ketakutan apabila awan gelap menutupi kawasan puncak gunung tersebut sebelum berlaku hujan lebat di kawasan itu.

Dakwa penduduk, keadaan itu hampir sama sebelum berlaku kejadian aliran puing di gunung berkenaan pada 18 Ogos lalu.

Penduduk Kampung Acheh, Fazirah Baharom, 42, berkata, dia berasa tidak sedap hati selepas melihat awan hitam menutupi Gunung Jerai pada pagi kelmarin.

Awan gelap selubungi Gunung Jerai, penduduk dilanda ketakutan

Seorang penduduk menunjukkan aliran air keruh di sungai kawasan peranginan Titi Hayun, Yan selepas hujan lebat kelmarin.

“Hampir seluruh puncak Gunung Jerai diliputi awan tebal berwarna hitam pagi semalam yang akan menyebabkan hujan lebat.

“Melihat situasi itu saya jadi trauma kerana kemungkinan kejadian arus deras akan berulang menyebabkan saya meminta ahli keluarga berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kata Fazirah, beberapa jam kemudian hujan mula lebat menyebabkan dia tidak henti berdoa agar tragedi sama tidak berulang menimpa penduduk yang tinggal di kaki gunung itu.

“Syukur walaupun hujan lebat tetapi tidak berlarutan lama seperti bencana aliran puing sebelum ini dan kepala air pada 2 September lalu.

“Bagaimana pun dengan cuaca tidak menentu sekarang, kami terpaksa berjaga-jaga kerana sudah rasa takut setiap kali melihat ‘pokok hujan,” katanya.

Tinjauan selepas hujan lebat di kaki Gunung Jerai petang kelmarin mendapati berlaku aliran air deras di kawasan air terjun Puteri Mandi yang bercampur tanah dan mengalir ke sungai di Kawasan peranginan Titi Hayun.

Dalam kejadian aliran puing pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk terkorban dan rumah penduduk juga ranap.

Berita Penuh : Semua pihak perlu terima hakikat Muhyiddin terpilih Pengerusi MPN bukan Mahathir, kata Bersatu

COMMENTS