Kenyataan Bersama
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) & Pemuda Amanah Nasional
Parti Amanah Negara (Amanah)
2 Mei 2020
PH + Tun – Itu Adalah Semangat Yang Kita Bawa Sekarang Dalam Usaha Mengambil Semula Mandat Rakyat PRU14*
AWAN dan PEMUDA Nasional tertarik untuk mengulas pandangan daripada seorang pimpinan AMK KeADILan, seperti yang disiarkan dalam berita bertajuk “AMK: Idea terima Bersatu kembali dalam PH tak bermaruah”.
https://www.malaysiakini.com/news/523645
AWAN dan PEMUDA Amanah berdiri teguh menyokong pandangan dan saranan yang telah dilontarkan oleh YB DS Salahuddin Hj Ayub, Timbalan Presiden Amanah seperti yang tersiar dalam berita bertajuk “Bersatu Jadi Budak Suruhan Saka Umno, Lebih Bermaruah Jika Bersama PH”.
https://inforakyat.net/bersatu-jadi-budak-suruhan-saka-um…/…
Apa yang telah dilontar oleh YB DS Timbalan Presiden Amanah itu adalah suatu yang kerap dibincang dan ditekankan oleh Majlis Presiden PH sejak awal, bahkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH + Tun yang telah diadakan pada 29 Februari 2020 yang lalu di Yayasan Al Bukhari, Kuala Lumpur.
Barangkali Ahmad Shukri terkhilaf, yang memimpin pengkhianatan sehingga meruntuhkan Kerajaan PH itu adalah Timbalan Presiden PKR, bukannya Timbalan Presiden Amanah.
Barangkali juga Ahmad Shukri terkhilaf, yang selama ini menganggotai Majlis Presiden PH itu adalah Timbalan Presiden Amanah yang sudah tentu memahami, menjiwai semangat dan idea yang ada dalam majoriti kepimpinan Majlis Presiden PH.
Sejauh yang kami lihat dan cermati, apa yang disuarakan oleh YB DS Salahuddin Hj Ayub itu adalah selari dengan semangat dan perbincangan dalam Majlis Presiden PH.
Apa yang menjadi keutamaan kita sekarang adalah kembali menyatukan semula mandat rakyat dalam PRU14 yang lepas. Membangunkan semula Kerajaan PH dengan membawa kembali mereka yang tersilap dan terkhilaf ke landasan asal selepas terpesona akibat mimpi-mimpi indah yang digambarkan kepada mereka oleh sosok-sosok tertentu. Mereka perlu dikejutkan dan dibawa keluar daripada mimpi-mimpi itu yang kini ternyata sudah bertukar menjadi mimpi ngeri.
Umum menyedari bahawa bukan semua pemimpin dan ahli Bersatu yang bersama pengkhianatan yang telah berlaku, sama sepertimana bukan semua pemimpin dan ahli PKR yang khianat.
Kedudukan YAB Tun dalam kembali membangunkan semula Kerajaan mandat PH adalah relevan dan signifikan. Apa yang ada pada hari ini selepas Bersatu terpecah kepada dua fraksi iaitu Bersatu pimpinan Tun dan Bersatu TSMY, adalah PH + Tun’s. Kita perlu fokus dan berjiwa besar untuk memperkukuhkan sebuah perjuangan dan kerjasama politik yang juga besar.
Ini wajar difahami secara jujur, bertanggungjawab dan tenang oleh semua kita, khususnya anak-anak muda. Politik yang sangat dinamik dan sangat seni ini perlu diurus dengan minda yang bugar dan sedar.
Mempertahankan mandat rakyat dan kembali kepada status quo adalah sasaran paling minima yang selama ini menjadi perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH. Lalu apa yang disuarakan oleh Timbalan Presiden Amanah itu adalah jelas selari dengan semangat itu.
Perjalanan kita masih jauh, setiakawan kita telah teruji. In shaa AlLah kita mampu melakukan yang terbaik dan yang lebih baik.
Ramadan kareem.
Salam hormat.
SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Timbalan Ketua Pemuda
Parti Amanah Negara (Amanah)
Sumber :