ASNB umum dividen ASB 4.6 sen, ada bonus 0.5 sen. Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan adalah sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.
Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria, walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pengurus dana terbesar di Malaysia itu telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.
Beliau berkata, jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.
“Bonus tambahan itu adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata tahun ini, syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.
“ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.
“Jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit.
“Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka,” katanya.
Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan
perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 31 Disember 2022.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di
portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Januari 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 3 Januari 2023.