Asnaf pernah tular hidup bawah jambatan rupanya ketagih syabu, selesa jadi gelandangan

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Sepasang suami isteri sanggup membiarkan dua anak mereka hidup sebagai gelandangan

Di bawah jambatan Sungai Langat, di sini, semata-mata untuk menagih dadah.

Namun, kegiatan mereka terbongkar apabila wanita tersebut ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat

Dalam satu operasi bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Dalam operasi sekitar pukul 8 pagi itu, wanita berusia 29 tahun tersebut ditahan bersama dua abang iparnya yang berusia 30-an dan 40-an di bawah jambatan berkenaan.

Asnaf pernah tular hidup bawah jambatan rupanya ketagih syabu, selesa jadi gelandangan

Turut ditemui di lokasi tersebut adalah anak lelaki pasangan itu yang berusia 11 tahun, manakala suaminya, 32, berjaya melarikan diri bersama anak perempuan mereka berusia sembilan tahun.

Wanita tersebut memberitahu bahawa mereka memilih untuk tinggal di bawah jambatan kerana kawasan itu dirasakan lebih ‘selesa’ berbanding rumah sewa yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor.

“Sebenarnya, saya dan suami ada rumah sewa yang dibayar oleh pihak zakat di Kajang Mewah, tetapi saya penat untuk naik turun tangga ke rumah itu yang terletak di tingkat empat.

“Sebab itulah kami berpindah ke bawah jambatan ini sejak empat bulan lalu kerana ia lebih ‘selesa’ dan bebas memandangkan hanya kami yang tinggal di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Wanita itu, yang berasal dari Kuantan, Pahang, mengaku mula mengambil dadah jenis syabu sejak tahun lalu setelah melihat suami dan abang iparnya menggunakannya.

“Sebelum berkahwin 11 tahun lalu, saya tidak tahu suami menagih dadah. Hanya selepas kami berkahwin, barulah saya tahu bahawa suami adalah penagih dadah. Kami hanya mengambil dadah apabila suami mempunyai duit, tetapi ia jarang berlaku kerana suami tiada pekerjaan tetap.

“Sebelum ini, saya dan suami tidak pernah ditangkap oleh AADK, tetapi kami pernah ditahan polis dan dipenjara kerana mencuri telefon bimbit,” katanya.

Ujian saringan awal air kencing terhadap wanita itu dan dua abang iparnya mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

Difahamkan, anak lelaki mereka yang ditemui di lokasi serbuan telah diserahkan kepada pihak JKM untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, tinjauan lokasi tempat tinggal wanita tersebut mendapati terdapat struktur konkrit yang diubah suai menjadi bilik oleh pasangan itu.

Selain itu, beberapa kelengkapan lain seperti pakaian, kerusi, tilam, dan dapur juga ditemui di lokasi tersebut.

BACA: Shuib sangkut lagi, lepas culas bayar caruman Perkeso, kantoi pula tak bayar cukai RM1.6 juta