Persatuan Amal Relief (ARIF) Melaka tampil mengerah keringat bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir kilat di negeri ini.
Pengarah ARIF Melaka Khairil Anwar Samad berkata usaha tersebut dibuat bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir selepas penat pulang ke rumah setelah ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Terdapat seramai 30 sukeralewan ARIF di Melaka dan kita bersedia untuk berkhidmat membersihkan dan mencuci rumah yang terlibat banjir tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata ARIF Melaka membuat sasaran membersihkan sekurang-kurangnya enam rumah sehari dan bermula Ahad lepas sehingga semalam, mereka telah berjaya membersihkan sebanyak 48 rumah.
Katanya kebanyakan daripada sukarelawan ARIF berumur 20 hingga 50 tahun dan pihaknya mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang berminat untuk bersama mereka bagi membantu mangsa banjir.
Khairil Anwar berkata pihaknya kini dibantu oleh beberapa NGO seperti Pertubuhan Prihatin Malaysia (MyConcern), Parti Amanah Durian Tunggal, pelajar Universtiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Rejimen Askar Wataniah.
Khairil Anwar berkata mangsa banjir yang memerlukan bantuan boleh menghubungi ARIF di talian 016-9811 315 atau 012-687 9046 bagi mendapat khidmat bantuan mencuci rumah.
Banjir kilat yang melanda negeri ini sejak tiga hari lepas hampir pulih hari ini apabila hanya dua PPS masih dibuka dengan jumlah mangsa 153 orang melibatkan 36 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi.
BERNAMA