Arahan Bercelaru : Kronologi Bagaimana Para Pelajar Ditendang Sana Sini

1. Majlis Keselamatan Negara (MKN) keluarkan arahan supaya para pelajar yang menginap di fasiliti IPT untuk “kembali ke kediaman masing-masing”.

2. Maksud “kediaman” ini rupanya tidak jelas. Ada yang kata terus tinggal di hostel/kolej. Ada yang kata pulang ke kampung halaman. Tetapi banyak IPT telah arahkan supaya kosongkan kolej/hostel. Kalau fikir logik, takkan IPT nak langgar arahan MKN? Terdapat debat juga di pihak atasan mengenai maksud “kediaman” ini.

3. Hal ini telah menyebabkan para pelajar terpaksa pulang ke kampung halaman. Perhimpunan ramai-ramai berlaku di stesyen bas, terutamanya TBS. Memperlihatkan Selangor mempunyai kes yang tinggi, perkara ini amat membimbangkan sekiranya wabak di Selangor menular di seluruh Semenanjung.

4. Selepas kebimbangan perhimpunan di stesyen bas tular. Menteri Pengajian Tinggi arahkan IPT supaya menyediakan penempatan bagi yang ada kekangan untuk balik kampung. Maksudnya boleh balik kampung la kan? Tapi kalau ada kekangan, pihak IPT kena sediakan tempat penginapan. Kekangan macam mana yang dimaksudkan? Menteri kata mereka ikut arahan MKN yang membenarkan pelajar pulang ke “kediaman” masing-masing.

5. Pada masa yang sama, Ketua Polis Negara (KPN) umumkan supaya lapor ke balai polis kalau nak balik kampung. Hal ini telah menimbulkan satu lagi perhimpunan lalu meningkatkan kadar penularan wabak.

Di stesyen bas mungkin ramai terdiri dalam kalangan pelajar. Tapi yang balik kampung ini bukan pelajar saja. Ada juga pekerja yang balik guna kenderaan sendiri (lebih selamat). Pekerja ini daripada tak terlibat dengan perhimpunan terus terlibat. Ini belum lagi masuk ibu bapa yang terpaksa pergi ke balai untuk ambil anak mereka yang berada di luar negeri.

6. Kesesakan di balai polis tular, KPN tarik balik mengenai tindakan untuk membuat laporan di balai polis dan membenarkan rakyat bebas rentas negeri. Macam Menteri Pengajian Tinggi cakap, KPN mungkin ikut arahan MKN.

7. Lebih kurang pukul 11.00 malam semalam baru keluar kenyataan daripada Pejabat Pengajian Tinggi. Dalam kenyataan tersebut “kediaman masing-masing” ini bermaksud kampung halaman kerana kenyataan itu gunakan ayat “balik ke kediaman masing-masing atau terus menginap di asrama” serta ayat “mempunyai pilihan untuk pulang ke tempat/negara asal atau terus tinggal di kampus masing-masing”.

8. Asasnya pihak kerajaan membenarkan rakyat bebas bergerak. Cuma akibat daripada kebebasan dan arahan mengejut itu telah menyebabkan banyak perhimpunan yang tidak dijangka. Kenapa ya MKN masih benarkan orang bebas bergerak (balik kampung dan bergerak antara negeri)? Bukankah itu akan sia-siakan tujuan Perintah Kawalan Pergerakan? 😅

9. Sekarang Malaysia sudah masuk level 3 — amaran yang mana kita patut elakkan sebarang travel yang tidak perlu.

10. Semoga vaksin cepat dihasilkan dan harap kita semua jalankan tanggungjawab masing-masing untuk kurangkan penularan wabak.

DUDUK DI RUMAH!
BASUH TANGAN!
PAKAI PENUTUP MUKA KALAU SAKIT!
JANGAN SENTUH ORANG LAIN!
JANGAN BERHIMPUN RAMAI-RAMAI!
JAGA JARAK!

#stayhome
#socialdistancing
#covid19
#PerintahKawalanPergerakan

Sumber :