Saya mula melangkah masuk pada 3 Julai 2018 setelah mengangkat sumpah pada 2 Julai sebagai Menteri di JPM menjaga Pentadbiran Islam Persekutuan. Ianya satu amanah besar yang saya terasa amat kerdil untuk melaksanakannya. Saya memohon pada Allah dipermudahkan urusan saya dan timbalan saya sepanjang menjalankan amanah berat ini hinggalah pada 24 Februari 2020 baru-baru ini di mana segalanya berakhir dengan mengejut sekali.
Dasar baru pentadbiran Islam buat pertama kali diperkenalkan pada 12hb July 2018 dalam perhimpunan warga JPM pentadbiran Islam persekutuan. Ia merupakan ucapan sulong saya memperkenalkan ide dan gagasan saya untuk mengemudi pentadbiran Islam dalam kerangka kerajaan Pakatan Harapan.
Saya menggagaskan Rahmatan Lil Alamin(RLA) sebagai falsafah besar pentadbiran Islam dengan meletakkan tiga teras utama iaitu falsafah RLA, Maqasid Syariah dan Model Malaysia. Bermula dari titik tolak ini diharapkan seluruh agensi pentadbiran Islam persekutuan dapat bergerak ke arah tersebut. Sesungguhnya dasar ini amat penting bagi menjawab persoalan semasa yang mencabar kedudukan Islam dari dua tarikan iaitu tarikan radikalisme agama dan Islamophobia.
MEMBENTUK KERANGKA STRATEGIK
Kerangka pentadbiran sangat utama dalam menentukan keberhasilan kerja. Melalui lontaran awal ini, lahirlah sebuah model strategik pentadbiran Islam yang diterapkan dalamnya sifat inklusiviti melalui 17 agenda dasar pembangunan lestari dunia Bangsa Bangsa Bersatu. Model ini memberi ruang melalui pemikiran Maqasid bagaimana menangani isu semasa berpandukan kepada ruang berfikir secara Kemenfaatan bersama.
Aspek operasi dasar mestilah berpijak kepada realiti Malaysia dengan mengambil kira faktor perundangan, kepelbagaian masyarakat dan agama, adat resam dan sistem penerintahan yang terpakai di Malaysia termasuk demokrasi berparlimen dsb. Kita namakannya sebagai Model Malaysia.
MENGAKHIRI BUDAYA KERJA SILO
Rangka strategik ini menuntut perpindahan mentaliti kerja dari silo mentaliti (bekerja secara terasing dan masing-masing) kepada mentaliti sepasukan yang diselaraskan bagi mencapai visi dan misi pentadbiran Islam. Empat belas agensi di bawah pentadbiran ini memerlukan satu panduan yang hendak dicapai dan akhirnya memenuhi visi dan misi menjadi pentadbiran Islam terunggul dan contoh kepada dunia dengan panduan RLA sebagai pemacunya.
Kita telah berusaha melalui pelan intervensi dan penilaian berkala untuk memastikan apakah tercapai keberhasilan utama kita. Bahagian Maqasid ditubuhkan untuk membudayakan pemikiran yang sesuai dengan kerangka strategik melalui penerangan, penyelidikan dan pembudayaan.
MEMPERKENALKAN NILAI RAHMAH
Bagi menjayakan cita-cita RLA, kita memperkenalkan enam nilai yang membangunkan peribadi umat Islam dan rakyat Malaysia secara umum. Berpandulan kepada perkataan RAHMAH setiap huruf mewakili nilai-nilai utama pentadbiran Islam iaitu R ramah, A Aman, H harmoni, M mesra, A alami dan H hormat.
Semua agensi membudayakan enam nilai ini bahkan kita memperkenalkan Masjid RAHMAH bagi memastikan lonjakan besar umat Islam bertapak dari masjid yang mempraktikkan keenam nilai tersebut. Lain-lain produk RAHMAH seperti Duta RAHMAH, Mahasiswa RAHMAH, Karnival RAHMAH dan Hospital RAHMAH. Kita berhasrat meluaskannya kepada masyarakat awam melalui Komuniti RAHMAH yang tidak kesampaian hasratnya.
KLUSTER DAN PENCAPAIAN
Selama setahun tumpuan saya dan timbalan adalah untuk memastikan semua agensi menerima dasar ini dengan meletakkan sasaran mereka mengikut kluster masing-masing.
Alhamdulillah berkat tumpuan dan kerjasama semua, kita diikat dengan cita-cita yang jelas untuk sama-sama berlumba mencapai objektif ini. Dalam masa tak sampai 2 tahun kita telah berjaya mencapai keberhasilan bersama, antaranya,
1. Mahkamah Hadhanah dan Nafaqah
2. Akta Profesion Guaman Syarie
3. Road map penyelarasan akta jenayah syariah
4. Program Town Hall Maqasid seluruh negara dan kementerian serta agensi.
5. Penerbitan tentang RLA dan Maqasid
6. Food Bank Program untuk asnaf
7. Pemulihan Tabung Haji ke arah organisasi yang mampan.
8. Usaha pendigitilan pentadbiran Islam
9. Pengantarabangsaan RLA
10. Majlis Rundingan Mahasiswa RAHMAH
Antara pencapaian pertama kali dari sudut pengiktirafan antarabangsa Model Kerangka Strategik kita, ialah
1. Ucaptama di SDG Summit KL 2019
2. Ucapan di Cambridge University
3. Ucapan di Sarejevo University
4. Ucapan di Beijing Foreign University
5. Ucapan di Mu’tah University Jordan
6. Pembentangan untuk Duta negara OIC, EU dan APEC di Kuala Lumpur
7. Tetamu di BBC Hardtalk, London
HASRAT 2020
Tahun 2020 adalah pecutan kepada mengakarumbikan RLA melalui pelancaran resmi oleh PM serta pelancaran Pelan Perancangan Utama atau Blueprint RLA. Sebelumnya Aspirasi Pentadbiran Islam telahpun diedarkan.
Bajet 2020 memperuntukkan RM10 juta untuk tujuan promosi dan menggiatkan program supaya rakyat memahami dasar ini dengan lebih baik. Semua persiapan perancangan sudahpun disediakan dan hanya menanti untuk dilancarkan dijadualkan pada pertengahan Mac bersama blueprint Negara RAHMAH.
TERIMAKASIH SEMUA
Hati saya amat teruja untuk menjayakan perancangan 2020 untuk dasar pentadbiran Islam tapi apakan daya segalanya terhenti pada 24 Feb yang lalu.
Apa dikenang jasa yang lama
Perkara fitnah usah dijaja
Hasrat di hati ingin bersama
Terhenti di sini bukan sengaja
Saya merakamkan jutaan terimakasih tidak terhingga kepada semua ketua-ketua agensi atas kerjasama dan curahan bakti menjayakan cita kita bersama.
Banyak pihak yang berusaha merendah-rendah usaha ini malah tergamak mempermainkan dasar RLA dengan berbagai tanggapan dan ungkapan. Anda diuji melalui cita-cita besar ini dengan berbagai keraguan malah ada yang pesimis dengan dasar ini.
Saya dan timbalan saya tidak pernah menoleh ke belakang kerana meyakini ianya adalah usaha untuk melusuri jejak langkah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rahmatan Lil Alamin.
HARAPAN
Biarpun khidmat kami terhenti di sini, kami tetap berharap perancangan 2020 terus diusahakan untuk melunaskan perkara berikut;
1. Blueprint RAHMAH
2. Akta Waqaf dan pengukuhan Waqaf
3. Penyelarasan Enakmen Jenayah Syariah
4. Model Masjid RAHMAH
5. Majlis Tahfiz Negara
6. Jabatan Pendakwaan Syarie Persekutuan
7. Majlis Peguam Syarie
8. Pengukuhan TH
9. Pendigitilan Pentadbiran Islam
10. Pelarasan undang-undang penetapan had umur perkahwinan
Saya hanya mendoakan sesiapa sahaja yang diberikan amanah agar memastikan
pentadbiran Islam sentiasa layak mendapat yang terbaik dan sekaligus dihormati dan dipandang tinggi oleh umat Islam khususnya dan dunia secara amnya.
يا ايها الذين امنو لا تخونوا الله و رسوله و تخونوا اماناتكم وانتم تعلمون..
Perkara silam usah dikenang
Sanjung budi besarnya pahala
Islam dijunjung pasti menang
Rahmat Islam merentas segala
Teruskanlah Misi RAHMAH ini dan jangan toleh ke belakang lagi…
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum wbkth..
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Mantan Menteri di JPM (Agama)