Apabila para ustaz menjadi juara fitnah

“Kamu kena tanggung sampai di akhirat Allah SWT. Jangan main-main.”

Demikianlah satu petikan nasihat daripada seorang ustaz dalam video ceramahnya.

Ia sebagai peringatan buat ahli jemaah untuk satu majlis ilmu berkaitan Tabung Haji, yang didakwa asetnya dijual serta dikuasai oleh bukan Islam yang dilakukan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ketika Dr Mujahid Yusof Rawa.

Namun, persoalan kini timbul apabila dakwaan itu telah dinafikan dengan kebenaran yang nyata dalam jawapan parlimen Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jawapan lisan pada sidang parlimen 13 Julai 2020 menunjukkan dakwaan itu tidak benar dan dusta.

Ternyata fitnah yang dilemparkan kepada Dr Mujahid khususnya tindakan beliau terhadap TH ketika itu adalah palsu dan hanya sebuah persepsi yang direka-reka untuk dijadikan propaganda sebagai modal politik kotor bagi memburukkan nama TH dan kerajaan Pakatan Harapan khususnya Dr Mujahid.

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Pesanan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat enam itu jelas menunjukkan betapa besarnya erti tabayun dalam kehidupan ini apabila kita didatangi sesuatu berita.

Jangan disebabkan imej dan pembawaan seseorang itu seolah-olah meyakinkan, terus kita bertindak mempercayai tanpa sebarang usul periksa dan penelitian yang terperinci.

Tambahan, sabda Rasulullah SAW: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [HR al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]

Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam kitabnya bahawa Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak-perandakan hubungan antara satu sama lain supaya hancur dan binasa. [Lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, ms: 369].

Jika kita ikuti episod dan kronologi TH ini, kita akan dapat lihat betapa yang membuat fitnah ini bukanlah mereka yang calang-calang orang.

Mereka ini dikenali dalam masyarakat, ustaz-ustaz dan tuan-tuan guru.

Tambahan pak-pak haji, mak-mak haji dan mereka yang membawa imej dan watak Islam.

Apabila perkara ini dibuktikan, cuba kita berfikir sejenak, apakah tanggapan orang yang bukan Islam terhadap Islam angkara perbuatan kalian?

Apa lagi yang boleh kami harapkan daripada kalian?

Sepenuh kepercayaan kami berikan kepada kalian dengan harapan dapat membawa imej Islam dengan lebih baik.

Ternyata kepercayaan kami meleset.

Soalan mudah yang perlu dijawab oleh mereka-mereka yang membuat cerita dan menyebarkan fitnah kepada mereka yang tidak mempunyai daya berfikiran secara rasional.

Pertama, apakah Islam menghalalkan fitnah bagi kamu yang membawa imej dan watak perjuangan Islam?

Kedua, adakah menjadi halal bagi kamu atas apa sahaja yang kamu kehendaki dan haram bagi mereka yang tidak sependapat dan sealiran dengan kamu?

Dua soalan mudah untuk dijawab oleh kalian.

Sebagai orang muda, saya faham bahawa terlalu muda dan awal untuk saya berkecimpung dalam dunia politik ini.

Bahkan terkadang membawa ketidakselesaan dalam kalangan veteran politik akibat kemunculan barisan anak muda.

Kebenaran, keadilan dan ketelusan membawa diri saya untuk berkata benar dalam isu ini.

Buat anak muda dan peminat politik, dunia politik penuh pancaroba, tabayun dan nilailah dengan sebaiknya.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Menyayangi. Sekian.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/534910