Apa akan jadi jika Tabung Haji diletak bawah pengawasan Bank Negara?

CADANGAN meminda status Lembaga Tabung Haji (TH) dan meletakkannya di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah langkah radikal yang perlu dikaji dan difahami sedalam-dalamnya.

Pertama, pengumuman mengenainya pada 15 Julai lalu dibuat melalui kenyataan media oleh Kementerian Kewangan. Kedua, ia tidak dikeluarkan atas nama sesiapa. Maklumat yang penting sebegini selalunya ada tanda tangan. Ia sudah cukup untuk menimbulkan tanda tanya dan persoalan kerana TH bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

TH adalah badan berkanun di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan diselia oleh Menteri Tugas-tugas Khas mengenai hal ehwal agama (Islam).

Tabung Haji

Tabung Haji baru sahaja keluar daripada krisis kewangan teruk yang memaksa kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan operasi penyelamatan besar-besaran pada 2018 dan 2019.

Pengurusan TH sebelum itu selama hampir empat tahun dikemudi oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim. Banyak pihak membantah pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi TH pada 2013 kerana dilihat sebagai merendahkan martabat dan kewibawaan badan tersebut.

Kenyataan Kementerian Kewangan antara lain menyebut bahawa kabinet dalam mesyuarat mingguan Rabu (14 Julai) bersetuju menyenaraikan TH sebagai institusi kewangan Islam berjadual di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Serentak itu, kabinet juga bersetuju memperkukuhkan pengurusan dan operasi TH pada keseluruhannya melalui beberapa cara seperti menerokai model operasi baharu.

Soalnya, dengan penukaran status TH menjadi institusi kewangan berjadual dan diletakkan di bawah penyeliaan Bank Negara, apakah akan terjadi kepada matlamat asal TH iaitu menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci seperti terkandung dalam nama asalnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji?

Yang pasti, menguruskan jemaah haji bukanlah kecekapan teras (core competency) Bank Negara. Kebimbangannya nanti aspek pengurusan jemaah mungkin tersisih dalam keghairahan mengubah TH menjadi institusi kewangan.

Sebagai badan yang menyelia institusi kewangan, Bank Negara tentulah mengutamakan transformasi dan pembangunan TH sebagai institusi kewangan bona fide. Memanglah baik dari segi pengurusan kewangan dan pelaburan meletakkan TH di bawah Bank Negara, tetapi dikhuatiri ia akan hilang autonomi untuk menguruskan jemaah haji.

TH terpaksa bersaing secara terbuka dengan institusi kewangan lain di bawah penyeliaan Bank Negara bagi mendapatkan deposit yang bukan untuk tujuan mengerjakan haji.

Kita perlu tahu bahawa sebahagian besar simpanan dengan TH adalah untuk tujuan pelaburan semata-mata dan bukan untuk mengerjakan haji.

Sekiranya penyeliaan oleh Bank Negara berkesan, kadar keuntungan mungkin meningkat dan dengan itu bolehlah membayar hibah lebih tinggi.

Dalam bentuknya sekarang, TH bertindak sebagai syarikat pemegang pelaburan (investment holding company) bagi pelbagai jenis pelaburan dan syarikat termasuklah Bank Islam Malaysia Berhad.

Soalnya, sebagai institusi kewangan Islam berjadual, bolehkah TH meneruskan fungsi ini dengan bebas?

Kebaikan cadangan menjadikan TH institusi kewangan Islam adalah proses pencalonan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan akan lebih rapi serta bebas daripada pengaruh politik kerana Bank Negara mengenakan syarat ketat mengenai kesesuaian calon.

Antara punca utama keruntuhan TH adalah campur tangan dan manipulasi politik. Kesimpulannya, kita tidak boleh memandang ringan cadangan kabinet ini kerana ia boleh mengubah TH menjadi sebuah entiti yang berlainan langsung daripada matlamat dan falsafah asal penubuhannya.

Kita tidak boleh membiarkan TH dihukum dan identitinya dimusnahkan semata-mata kerana konspirasi serta pengabaian tanggungjawab oleh pengurusan.

Kita kena ingat, sejarah TH cukup lama – sejak 1963. Sehinggalah dipengerusikan oleh Abdul Azeez, ia tidak pernah mengalami krisis kewangan yang melumpuhkan, malah diakui dunia sebagai institusi haji terulung.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/150657/KOLUMNIS/Ancaman-tukar-status-Tabung-Haji

BACA JUGA : Muhyiddin jangan buat lupa, Bersatu ‘curi’ 15 MP Umno

COMMENTS

Wordpress (0)