Anwar tuntut siasatan bebas bawah parlimen terhadap ‘Vaksin Yang Lembab’

Anwar tuntut siasatan bebas bawah parlimen terhadap ‘Vaksin Yang Lembab’

Presiden PKR Anwar Ibrahim menuntut dua tindakan segera daripada kerajaan Perikatan Nasional dalam mempercepatkan kadar vaksinasi di negara ini.

Menurut Anwar, proses vaksinasi negara yang begitu lambat tidak boleh diterima sama sekali kerana ia secara tidak langsung menambah masalah sedia ada.

“Pertamanya, kerajaan pusat mestilah bertindak pantas dan menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang telah diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.

“Keduanya, saya menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperoleh vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Khairy Jamaluddin
Ahli parlimen Port Dickson berkata kerajaan terlampau sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses sehingga rakyat terpaksa berdepan dengan kelengahan yang tidak sepatutnya.

Menteri hanya tuding jari

Kata Anwar, menteri yang bertanggungjawab sebaliknya menuding jari terhadap negara-negara kaya kerana memonopoli pasaran sehingga mengehadkan akses Malaysia mendapatkan bekalan vaksin.

Menurutnya, dia telah dimaklumkan oleh beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan bahawa mereka telah mengambil inisiatif sendiri untuk membawa masuk bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tetapi usaha tersebut tergantung kerana ia sering dilengahkan oleh kementerian yang berkenaan.

“Saya amat terganggu dengan sikap pihak atasan kementerian yang ternyata begitu lembab.

“Kerajaan negeri Selangor misalannya, terpaksa menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan dua juta dos buat rakyat Selangor.

“Kerajaan negeri Sarawak turut menghadapi nasib yang sama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan.

“Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali,” katanya.

Anwar berkata terdapat ramai rakyat Malaysia yang sanggup membayar sejumlah wang untuk divaksin sama ada di hospital atau klinik swasta. Malah, terdapat juga yayasan dan pertubuhan kebajikan yang bersedia untuk menyokong usaha-usaha vaksinasi di kawasan setempat.

“Sekiranya pemain-pemain ini diberikan galakan dan kelulusan yang diperlukan dengan kadar segera, bekalan terhad yang kini dimiliki kerajaan pusat boleh terus disalurkan kepada golongan miskin dan yang terpinggir serta mereka yang amat memerlukannya bagi memastikan akses yang pantas dan saksama kepada vaksin.

“Dengan itu, kadar vaksinasi kita boleh bertambah dua atau tiga kali ganda lebih pantas daripada kadar sekarang, yang ternyata begitu lesu,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/571411