Anwar sokong Muhyiddin : Surat aku janji itu palsu

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan surat aku janji yang menggambarkan presiden partinya, Anwar Ibrahim menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia.

“Palsu,” kata Saifuddin rmenerusi pesanan ringkas ketika menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai perkara itu.

Surat aku janji bertarikh 16 Mei yang ditularkan itu mendakwa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak menyokong sebarang usaha dan cubaan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Surat itu dikatakan pernah disebarkan sehari sebelum sidang parlimen 18 Mei lalu, sebelum tular semula di media sosial sejak semalam.

Pada 8 Mei Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof mengesahkan menerima usul Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

“…usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya.

Bagaimanapun, persidangan pada 18 Mei sebelum ini hanya diadakan selama satu hari kerana negara masih terkesan dengan Covid-19 dengan satu agenda iaitu titah diraja pada pembukaan sidang oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia sekaligus menyaksikan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional tidak akan berlaku.

Persidangan Dewan Rakyat berjadual pada 13 Julai ini kemungkinan menyaksikan undi tidak percaya tidak akan berlaku selepas usul perdana menteri untuk menukar speaker Mohamad Ariff dan timbalannya Nga Kor Ming.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/532835