Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing negatif Covid-19.
Perkara itu disahkan menurut laporan media setelah membuat ujian saringan Covid-19 di Parlimen, kelmarin.
Turut dilaporkan juga, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang juga negatif susulan tiada kontak rapat dengan individu bergejala.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang semalam didapati positif Covid-19 difahamkan sedang menjalani kuarantin di rumahnya.
Begitu juga dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman turut disahkan positif oleh pegawainya sendiri.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) belum menerima laporan penuh daripada ujian saringan yang dijalankan di Parlimen pada hari Khamis dan semalam di Dewan Rakyat.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hasil saringan itu, sekurang-kurangnya 35 individu termasuk beberapa Ahli Parlimen dikatakan positif Covid-19.
Saringan Covid-19 itu dilaksanakan sebagai langkah keselamatan dan pencegahan penularan wabak menjelang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula esok.
Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/politik/2021/07/annuar-musa-nik-abduh-negatif-covid-19/