Anis Afida kongsi pengalaman jadi calon PRU ketika umur 25 tahun

Anis Afida kongsi pengalaman jadi calon PRU ketika umur 25 tahun

Semalam semasa sesi pengurusan calon bersama jentera AWAN Johor, aku diminta untuk berkongsi pengalaman sebagai calon semasa PRU ke-13 dan ke-14.

Pengalaman pertama menjadi calon PAS seawal 25 tahun dan ditempatkan di DUN yang 99% Melayu Felda. Rekod calon-calonnya sebelum ini pernah ada dibawa lari dan dibeli musuh serta hilang wang deposit.

Pengalaman aku pula mendapat batu nisan dengan tertulis nama dan tarikh mati, diugut bunuh, rumah dibakar, kereta disimbah cat berwarna merah serta dikoyak poster. Semua itu antara usaha bagi melemahkan aku sebagai calon.

Malah, diuji dengan pemergian arwah abah dihari pertama aku berkempen serta disusuli dengan sebaran gambar kematian arwah abah sebagai balasan kepada tindakan aku menjadi calon menambah tekanan kepada aku dan keluarga. Ketika itu, sebagai calon aku  berusaha untuk terus kekal bertahan dan hasilnya buat pertama kali wang deposit calon tidak hilang di DUN itu. Syukur.

Pengalaman kedua menjadi calon AMANAH diusia 30 tahun dan ditempatkan di Parlimen yang majoritinya Melayu Jawa dan kawasan kampung tradisi. Cerita tentang calon sebelum ini, dikatakan pernah meninggal dunia akibat dihantar ilmu hitam.

Beberapa mantan calon turut menghubungi dan memaklumkan perkara yang sama dan suruh membuat persiapan pelindung diri. Dimaklumkan juga, YB mereka sendiri pernah diperlakukan sedemikian sehingga tidak boleh berjalan buat beberapa ketika. Dengan izin Allah aku sendiri turut mengalaminya bersama jentera semasa turun berkempen.

Badan kepanasan seperti terbakar dan terus pengsan tidak sedarkan diri. Mujur ada sahabat yang pandai berubat datang membantu. Alhamdulillah, terus bertahan dan dapat menambah peratusan undi walaupun masih tidak menang. Itu baru kisah mengurus calon, tidak termasuk dugaan mengurus jentera yang membantu calon.

Pada aku, setiap calon itu mampu bertahan ketika diuji adalah kerana sistem sokongan yang kuat. Calon bukan Wonder Women atau Captain Marvel. Mereka manusia biasa yang diberikan tugas yang bukan biasa-biasa.

Pada orang, menjadi calon PRU itu nampak indah tapi ia tidak mudah kerana ia adalah amanah bukan semata kuasa dan ghanimah.

Sumber:

COMMENTS