Angkara guna borang rentas negeri palsu, penuntut kolej ditahan polis

Angkara guna borang rentas negeri palsu, penuntut kolej ditahan polis

Polis menahan dua penuntut kolej swasta berusia 22 tahun kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri untuk ke Pahang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kedua-dua wanita terbabit menaiki kenderaan yang sama ketika ditahan di sekatan jalan raya selepas Plaza Tol Bentong kira-kira jam pada 6.45 petang.

Katanya anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya itu membuat pemeriksaan selepas meragui kesahihan borang yang dikemukakan mereka.

“Siasatan awal mempercayai cap dan tandatangan ketua balai yang meluluskan borang itu bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan atas alasan menghadiri kelas adalah palsu dan dihasilkan dengan menggunakan mesin pengimbas.

Dua pelajar kolej ditahan kemuka borang rentas negeri palsu

“Polis turut menemukan salinan borang kosong dengan tandatangan palsu dikatakan milik ketua balai polis di telefon pintar seorang daripada suspek, yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan borang rentas negeri itu,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Zaiham berkata ujian saringan air kencing seorang daripada suspek juga didapati positif ganja.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 kanun sama atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/571532