Blogger

“Anggap Ordinan Darurat boleh turun kes segera adalah salah”

Ramai yang salah faham, menganggap Ordinan Darurat dan Sekatan Pergerakan Penuh mampu menurunkan kes positif COVID-19 dengan segera.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pada masa sekarang, semua pihak perlu bersabar untuk mendapatkan hasil dari setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan.

Tegasnya, apa yang dilakukan pada hari ini, dalam 14 hari kemudian baru nampak kesannya terutamanya dalam penurunan jumlah kes positif.

“Ada yang kata bila lockdown, mesti terus selesai, isytihar darurat mesti terus selesai. Pengurusan COVID-19 tidak begitu, ramai di luar sana yang masih tidak faham.

“Malah di Amerika Syarikat, vaksinasi banyak, kes harian masih lagi 13,000 ke 14,000. Di United Kingdom, walaupun sudah bebas bergerak, vaksin baru 47 ke 48 peratus, kes harian masih lagi 7,000.

“Banyak tidak faham antara vaksin dan kes positif, kes positif akan terus berlaku sebab virus tidak mati,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Program Pemberian Vaksin Industri di KL Sentral pada Sabtu.

Tambahnya, inisiatif dilakukan kerajaan boleh dianggap berjaya kerana berjaya menurunkan kes berbanding sebelum ini yang merekodkan hampir 10,000 kes.

“Macam sekarang, lockdown tiga minggu. Baru di peringkat awal, ia berjaya sebab masa mula-mula kita decide lockdown, kes 8,000 ke 9,000 kes.

“Kalau tiada lockdown hari ini, angka dijangka 15,000 ke 16,000 pada masa ini. Perkara ini perlu diterangkan kerana orang luar jadikan isu,” ujarnya.

Tegasnya, tidak wajar untuk menjangkakan kes dapat turun kepada dua angka dalam masa tiga minggu.

Malaysia mencatatkan 5,911 kes COVID-19 baharu pada Sabtu dengan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik ini melanda negara meningkat kepada 691,115.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ramai-salah-faham-anggap-lockdown-dan-darurat-dapat-turunkan-kes-segera-annuar-musa-303980

CATEGORIES