Anak-anak jadikan Langkawi medan pertemuan dengan ibu bapa

Anak-anak jadikan Langkawi medan pertemuan dengan ibu bapa.Pulau Langkawi yang dibenarkan beroperasi kini menjadi medan pertemuan ahli keluarga yang sudah lama terpisah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini susulan aktiviti rentas negeri yang masih berkuat kuasa tidak memungkinkan mereka pulang ke kampung kecuali memilih untuk berkumpul di pulau lagenda itu.

Seorang pelancong dari Jitra, Noor Aslina Arshad, 53, berkata, dia yang lebih lima bulan tidak bertemu anaknya yang tinggal di Bangi, Selangor mengambil kesempatan berkunjung ke Langkawi untuk bertemu anaknya itu.

“Kami datang ke sini menggunakan feri manakala anak saya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Langkawi di sini hari ini.

Seorang lagi pelancong, Azmi Othman, 52, dari Pulau Pinang berkata, dia mengambil kesempatan bertemu dengan anak dan menantu selepas hampir setahun tidak dapat berjumpa di sini.

“Saya rindu untuk bersua dengan cucu-cucu berusia dua dan tiga tahun.Pada masa sama, saya ingin bercuti sempena Hari Malaysia hari ini,” katanya.

Langkawi

Sementara itu, seorang pelancong dari Puchong, Selangor, Hidayati Husna Suhaizi, 26, berkata, dia dan keluarganya memilih untuk menggunakan feri kerana ingin merasakan pengalaman melancong setelah sekian lama tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Saya terus menempah tiket feri sebaik pengumuman mengenai gelembung pelancongan dilakukan oleh kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, lebih 80 peratus bilik penginapan di hotel-hotel lima bintang di Langkawi ditempah.

Selain itu, menurut beliau, villa dengan kolam renang peribadi turut menjadi pilihan apabila kesemua 200 villa dimiliki ahli persatuan licin ditempah.

“Villa dengan kolam peribadi menjadi tumpuan kali ini dengan kebanyakannya ditempah pengunjung dari Kuala Lumpur serta Selangor. Walaupun agak mahal, namun mereka tidak kisah mungkin kerana merasakan lebih selamat.

“Selain itu, hotel-hotel kecil juga mendapat lebih 70 peratus tempahan dengan kebanyakan hotel yang ada di sekitar Pantai Chenang sudah pun penuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata, beliau difahamkan terdapat kemajuan dari sudut tempahan hotel di Langkawi yang kembali mendapat permintaan tinggi.

BACA: Suamiku seorang Ustaz Facebook miang
BACA: Ribuan kakitangan kesihatan diberhentikan kerja kerana tak mahu divaksin

“Kebanyakan hotel di pantai-pantai biasanya dikunjungi oleh orang luar dari Kedah dan mereka dikatakan mendapat bilangan tempahan yang positif berikutan pembukaan Langkawi.

“Begitu pun ada juga hotel-hotel yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan dari Kedah terutamanya di pekan Kuah yang masih belum menerima tempahan baik,” katanya.

Naca

Sumber:

BACA: “Kerajaan seperti lepas tangan isu Kampung Baru”