Amerika rancang untuk jejak penggunaan matawang kripto

Amerika rancang untuk jejak penggunaan matawang kripto. Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berhasrat mengambil tindakan tegas berhubung penggunaan mata wang kripto dalam serangan penggodam ransomware.

Menurut sumber, ia akan dilakukan melalui kaedah pengesanan lebih ketat termasuk penjejakan pembayaran kepada penggodam oleh syarikat yang tidak aktif, pertubuhan dan agensi kerajaan di seluruh dunia.

Dalam taklimat secara maya dihadiri ahli Kongres semalam, Timbalan Penasihat Keselamatan Nasional AS, Anne Neuberger, berkata Rumah Putih sudah menubuhkan pasukan petugas khas ransomware.

Antara strategi yang dirangka termasuk usaha bagi melumpuhkan operasi ransomware dan penggunaan mata wang kripto bagi pembayaran tebusan.

Amerika
Selain itu, AS turut berusaha memperkukuh kerjasama dengan sekutunya bagi menggalakkan negara lain supaya jangan melindungi dalang yang terbabit dalam serangan sedemikian.

Menurut sumber itu lagi, Neuberger berkata tidak ada standard keselamatan siber untuk industri swasta dan Kongres perlu memperuntukkan satu piawaian khusus mengenainya.

Sebahagian ahli Kongres yang hadir dalam taklimat itu bagaimanapun memberikan maklum balas kurang memberangsangkan berhubung perkara dibincangkan.

Salah seorang daripada ahli Kongres yang tidak didedahkan identitinya berkata, tidak ada perbincangan mengenai entiti kerajaan baharu bagi mengendalikan serangan balas terhadap penggodam ransomware.

Sebaliknya, perbincangan lebih tertumpu kepada aspek pertahanan iaitu berkaitan perniagaan dan infrastruktur kritikal.

Ahli Kongres itu bagaimanapun tidak dapat mengingati sama ada terdapat perbincangan menyentuh kumpulan penggodam REvil, yang secara tiba-tiba hilang dari web gelap atau ‘Dark Web’ Selasa lalu.

Kumpulan yang dipercaya ada kaitan dengan Russia itu, baru-baru ini didakwa melakukan siri serangan terhadap syarikat pembekal daging gergasi, JBS SA.

Syarikat itu akhirnya membayar wang tebusan sebanyak AS$11 juta (RM45.29 juta) kepada kumpulan penggodam yang menceroboh sistem komputernya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/07/839877/rancang-penjejakan-kripto-untuk-tangani-ransomware

Jika Terlepas: Kes positif di parlimen berlaku sebulan lepas, bukan sekarang – Sumber