Amanah tolak ulama? Persepsi sahaja hakikatnya bukan begitu – Ustaz Ridzwan

Benarkah AMANAH menolak Ulama ? Sudah pastinya TIDAK ! kerana dalam AMANAH, syarat menjadi ahlinya adalah Rakyat Malaysia termasuklah Ulamanya.

Tapi, kenapa Ulama sedikit dalam AMANAH?, kerana hakikatnya jumlah ‘Ulama’ yang mencapai piawaian keulamaan sememangnya sedikit dalam masyarakat. Ramai Ulama dalam masyarakat adalah golongan yang disangkakan Ulama, bukan sebenarnya Ulama.

Bukankah ramai calon AMANAH berdepan dengan Ulama atau lawan Ulama ? Apapun latar seseorang calon, hakikat yang mesti diterima adalah mereka itu adalah politikus, AMANAH berdepan dengan mereka kerana mereka adalah CALON PARTI, bukan kerana mereka itu ULAMA.

Di Kedah, AMANAH bertanding 10 kerusi DUN dan menang 4 darinya, kalau kira peratusan tentulah 40%.

Dari 4 kerusi yang dimenangi AMANAH, calon² AMANAH mengalahkan Ulama (paling tidak kerana mereka menyertai DEWAN ULAMA) PAS.

Kota Siputeh : Calon Amanah adalah seorang Dr gigi mengalahkan Ketua Dewan ULAMA PAS.

Kubang Rotan : Calon Amanah adalah seorang akauntan mengalahkan mantan Ketua Urusan ULAMA PAS Kuala Kedah.

Pengakalan Kundur : Calon Amanah adalah seorang Dr perubatan dan memiliki rangkaian Pusat Dialisis mengalahkan mantan Ketua Dewan ULAMA PAS Kedah.

Alor Mengkudu : Calon Amanah adalah seorang Ir mengalahkan mantan Bendahari Dewan ULAMA PAS Kedah.

Apakah kerana itu boleh dianggap melawan dan mengalahkan Ulama ? Tidak ! Kerana mereka semua adalah politikus yang datang dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan latihan. Atas padang politik mereka semua adalah politikus.

AMANAH tidak menganggap calon yang menang keatas para Asatizah (Ulama) Amanah adalah lawan dan mengalahkan Ulama, TIDAK sama sekali.

Ambil contoh, di DUN Sanglang, Perlis seorang bekas cikgu sekolah rendah (PAS) berdepan dengan calon Amanah yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis (Ulama) dan mengalahkan Ustaz tersebut, apakah AMANAH menganggap cikgu itu lawan Ulama ? Tidak, dia lawan politikus AMANAH yang kebetulannya adalah Ustaz.

Apakah AMANAH tak bagi peluang kepada ulama dalam AMANAH untuk menjadi calon ? Siapapun yang memenuhi kriteria asas sebagai calon diberikan tempat sebagai calon termasuklah para Ulama dalam AMANAH.

Ambil contoh di Parit Buntar, AMANAH meletakan seorang lulusan dalam bidang Siasah Syar’iyah pada peringkat PhD sebagai calon, tak kan lulusan Siasah Syar’iyah tak layak jadi ulama kot? Dan beliau menang, YB Dr Mujahid Yusuff Rawa.

Di Hulu Langat, AMANAH meletakan seorang Prof Madya dalam bidang pengajian Islam sebagai calonnya dan beliau menang, YB Ust Hasanuddin Mohd Yunus. Tak ulama lagi ?

Di Tampin, AMANAH menamakan seorang sarjana (ulama) dalam bidang Siasah Syar’iyah sebagai calon dan menang, YB Dr Hasan Baharum.

Di DUN Lenggeng, Negeri Sembilan, AMANAH menamakan Ustaz Suhaimi Kassim sebagai calon dan menang. Ustaz Suhaimi adalah lulusan Universiti Islam Madinah dan mempunyai karya dalam bidang ilmu Al Quran, beliau juga adalah pengasas dan pembimbing Pusat Pendidikan Al Quran al Barakah di Negeri Sembilan.

AMANAH tidak memusuhi ulama, bahkan AMANAH meletakan ulama pada tempatnya yang tersendiri.

Demikian, catatan 1 Muharram 1442H.

Sumber :