AMANAH tanding PRN Sarawak, tampil calon muda, wanita berwibawa

AMANAH Sarawak bakal menampilkan beberapa orang calon muda bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti.

Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, beberapa calon muda itu telah dikenal pasti dan hanya dimuktamadkan dalam masa terdekat ini.

Jelasnya, senarai nama-nama calon di setiap 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi akan ditapis dan seterusnya dibawa ke peringkat AMANAH Nasional.

“In shaa Allah…ada beberapa calon muda termasuk wanita yang bakal membawa cabaran AMANAH Sarawak pada PRN12 kali ini.

“Namun keputusan akhir hanya diketahui selepas nama-nama tersebut dibawa ke peringkat AMANAH Nasional dalam masa terdekat ini.

“Apa pun, saya yakin bahawa calon-calon yang kita tampilkan nanti mampu memberi mencipta sejarah buat pertama kalinya menang di kerusi ‘panas’ milik Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujar beliau ketika ditemui di Kuching hari ini.

Menurut Fadillah, AMANAH bukanlah sebuah parti yang ‘asing’ di negeri ini, malah telah meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 lalu.

Justeru, beliau optimis bahawa AMANAH Sarawak mampu ‘menggempur’ beberapa kawasan DUN di negeri ini bersandarkan gerak kerja yang dilaksanakan sejak PRN11.

Ini ditambah lagi, katanya rakyat marhean di negeri ini nampak cenderung menolak parti pemerintah (GPS) yang gagal menyelesaikan banyak isu rakyat selepas hampir 57 tahun berkuasa.

“Kita tahu GPS mungkin agak ‘selesa’ selama ini sehingga leka dan menyebabkan banyak keperluan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman terabai.

“Oleh demikian, beberapa isu asas seperti masalah air, elektrik, jalan raya dan jambatan selain kebajikan rakyat masih lagi membelenggu mereka di negeri ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar calon-calon yang ditampilkan pada kali ini akan membawa isu-isu tersebut di DUN yang mereka tandingi.

Kata beliau lagi, sokongan daripada jentera parti rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP turut ditagih untuk bekerjasama dalam memastikan calon yang diketengahkan mampu meraih kemenangan.

“Saya berharap dengan adanya kerjasama erat jentera parti dalam komponen PH pada PRN12 kelak akan mampu membawa kemenangan kepada calon-calon PH.

“Selain itu, sentimen kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu asas rakyat turut mampu memberi kelebihan kepada calon parti lain yang akan bertanding nanti,” ujar beliau.

AMANAH Sarawak bakal bertanding di 13 kerusi DUN iaitu Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya dan Gedong.

Kerusi lain ialah DUN Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/amanah-sarawak-bakal-tampilkan-calon-muda-wanita/