Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) hari ini dinasihati agar tidak menzalimi penjawat awam yang membuat pinjaman perumahan kepadanya dengan menangguhkan pembayaran pinjaman perumahan mereka.
Perkara itu ditegaskan oleh Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata LPPSA harus pertimbangkan keadaan yang tertekan dialami oleh penjawat awam.
Katanya, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya penjawat awam juga ada yang terkesan dengan keadaan ini dari sudut perbelanjaan serta pelbagai perkara yang perlu diselesaikan mereka.
“Kita juga mahu pihak kerajaan bertindak menasihati LPPSA agar menangguh sementara pembayaran balik pinjaman atau potongan gaji katitangan awam.
“Terdapat aduan dari pihak kakitangan awam yang membuat pinjaman perumahan LPPSA tetap terkesan teruk dengan PKP ini. Justeru tindakan dari LPPSA untuk tidak menangguhkan pembayaran balik ini dilihat zalim.
“Tindakan LPPSA yang tidak menangguhkan pembayaran balik ini bukanlah suatu langkah yang baik kerana ia seolah tidak memberi peluang langsung kepada penjawat awam untuk menyara hidup mereka seharian sepanjang PKP ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi beberapa cadangan agar pihak LPPSA pertimbangkan untuk dibuat dalam masa PKP ini berlangsung.
Tambahnya, perkara ini penting untuk LPPSA segera membantu penjawat awam dalam memberi kelonggaran kepada pihak peminjam.
“LPPSA boleh menangguhkan pinjaman tersebut seperti yang disarankan oleh kerajaan kepada sektor-sektor lain yang telah mengambil langkah menangguhkan dahulu pinjaman selama enam bulan.
“Selain itu, LPPSA juga boleh pertimbangkan untuk mengurangkan pembayaran balik dalam tempoh masa PKP ini dari jumlah yang sepatutnya seperti potongan pembayaran balik sebanyak 50 peratus dan sebagainya.
“Antara lain LPPSA juga boleh mempertimbangkan untuk mengenakan pembayaran balik mengikut kemampuan seperti menangguhkan sementara pinjaman kepada golongan B40 dan M40 serta mengambil keputusan untuk meneruskan bayaran kepada golongan selain golongan tersebut,” tegasnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, beliau turut mendesak kerajaan untuk berunding segera dengan LPPSA untuk memikirkan soal langkah lembaga tersebut.