Akhirnya Tuan Ibrahim mengaku masalah air di Kelantan serius

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui Kelantan antara negeri yang mengalami isu bekalan air yang serius.

Menurut Timbalan Presiden Pas berkenaan, bantuan perlu diberi kepada Kelantan bukannya menyalahkan negeri itu seperti yang pernah beliau tekankan dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

“Beberapa negeri seperti Kelantan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal.

“Saya sebut dalam Parlimen, kalau kita salahkan Kelantan sebab tidak cukup air tetapi kita tidak bantu, tidak akan selesai masalah.

“Jadi sekarang saya ambil pendekatan untuk cari jalan keluar,” katanya dipetik wawancara Sinar Harian hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, masalah air di Kelantan melibatkan sumber air, isu bekalan air bersih dan kadar kekurangan air sangat tinggi.

Hal yang sama juga, katanya, berlaku di Kedah, Perlis, Melaka dan Labuan terutama pada musim kemarau.

“Tiada gunanya kita dedahkan masalah tetapi tiada jalan penyelesaian. Kelantan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal,” ujarnya.

Bulan lalu, Tuan Ibrahim dilapor berkata, KASA memerlukan RM7.3 bilion untuk menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air secara holistik di Kelantan.

Jelasnya, peruntukan itu mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan sehingga 40 tahun akan datang.

Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya akan memohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan ia dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pemimpin-pas-akui-kelantan-hadapi-masalah-air-kritikal/