Akhirnya Bersatu serah kepada Ismail tentukan TPM

Pemimpin

Akhirnya Bersatu serah kepada Ismail tentukan TPM. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet baharu kerajaan pimpinannya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Perdana Menteri sudah semestinya mahu membentuk Kabinet beliau sendiri yang dirasakan boleh bekerjasama.

“Tidak ada gunanya jika Perdana Menteri melantik orang yang hebat sekali pun tetapi tidak boleh bekerjasama, sebab Kabinet nanti tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya,” kata Ahli Parlimen Alor Gajah itu kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 100 penduduk di beberapa kampung yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.
di sini semalam.

Beliau mengulas spekulasi pelantikan Timbalan Perdana Menteri dengan dua pemimpin daripada Bersatu disebut-sebut bakal menduduki jawatan TPM iaitua Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan seorang lagi Ahli MPT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bersatu

Kedua-dua pemimpin itu dikatakan calon utama Bersatu bagi mengisi jawatan nombor dua negara berkenaan sekali gus meredakan sebarang ancaman penarikan sokongan terhadap Ismail Sabri.

Mengenai peluangnya dilantik menyertai Kabinet baharu, Mohd. Redzuan berkata, beliau berharap dipilih sekali lagi sebagai menteri kerana masih mempunyai urusan yang belum diselesaikan terutama berkaitan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak kecewa jika tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri malah tetap akan menyokong Ismail Sabri.

“Sekarang saya kembali kepada kapasiti saya sebagai ADUN Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun, dua tanggungjawab ini cukup besar. Saya tak kecewa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau akur dengan sebarang keputusan Ismail Sabri Yaakob jika jawatan tersebut diberikan kepada pemimpin selain daripada Sabah dan Sarawak.

Katanya, GPS setakat ini juga tidak pernah membuat sebarang tuntutan rasmi untuk mengisi jawatan itu daripada Ismail Sabri.

“Kita serahkan pada Ismail Sabri dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Ikut mana yang terbaik walaupun ada banyak pandangan sama ada mahu diwujudkan atau tidak jawatan TPM 2 ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting berkata,jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 wajar diberi kepada Sarawak dan Sabah sebagai menghargai kedua-dua negeri itu, yang telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara sejak tahun 1963.

Sehubungan itu , beliau mencadangkan dua nama iaitu Fadillah dan Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Berita Penuh : https://suara.tv/26/08/2021/jawatan-tpm-ppbm-serahkan-kepada-perdana-menteri/

BACA: Retorik ‘No DAP, No Anwar’ perlu dihentikan, Malaysia perlukan politik damai

COMMENTS

Wordpress (0)