Ajaran sesat : Sittah Annur ditahan reman 4 hari

Ajaran sesat : Sittah Annur ditahan reman 4 hari. Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) iaitu seorang wanita berusia 39 tahun yang digelar Sittah Annur ditahan polis pagi hari ini.

Wanita itu telah ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya di Shah Alam dan telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni mengesahkan penahanan wanita itu dan menyatakan suspek merupakan seorang peniaga yang sudah berumah tangga kini sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pada pukul 1.10 pagi tadi Inspektor D9 bersama sepasukan anggota dari Cawangan D9 IPD Brickfields, KL telah pergi ke alamat di Jalan Tanjung Keramat 26/35 HICOM Industrial Estate, Shah Alam, Selangor sebelum membuat tangkapan ke atas suspek satu perempuan tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ajaran sesat

Empat telefon bimbit milik suspek wanita Sittah Annur dan kain telekung yang dirampas polis selepas menyerbu kediamannya dan menahan suspek di Shah Alam jam 1.10 pagi tadi.
“Suspek tidak rekod jenayah lampau setakat ini dan telah dipohon reman selama empat hari sehingga 7 September ini dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadapnya di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Tambah Basri, sebelum tangkapan dijalankan polis, suspek dalam telah membuat satu laporan polis menafikan dirinya pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau apa-apa kumpulan dan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam sekaligus menafikan segala tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Polis ketika serbuan di rumah suspek turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, sekeping resit pemindahan wang ke satu akaun bank tempatan sebanyak RM84,721,42 dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan suspek semasa membuat live Facebook,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pula berkata, siasatan ke atas wanita berkenaan sedang menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh Aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan Sittah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

“Di antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita tersebut mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

“Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan terbaharu perkembangan kes itu hari ini.

Tambah beliau, suspek telah dikenal pasti dan diambil keterangan berkaitan siasatan dalam kes ini baru-baru ini.

Menurutnya, PDRM dalam usaha untuk mengesan serta mengenal pasti individu-individu lain yang terlibat dalam kes ini bagi melengkapkan siasatan polis.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/09/04/sebar-ajaran-sesat-pmyt-sittah-annur-direman-empat-hari/

BACA: KKM akan bincang dengan KPM untuk wajibkan guru ambil vaksin