Ajaran sesat : Golongan profesional, berpendidikan tinggi turut terjebak

Ajaran sesat : Golongan profesional, berpendidikan tinggi turut terjebak

Golongan profesional dan berpendidikan tinggi dikesan turut terjebak dalam ajaran sesat di negara ini.

Penolong Pengarah Advokasi Akidah dan Perundangan Islam Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Firdaus Subhi berkata, jahil dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam sebenar menjadi punca mereka mudah terpengaruh dan terpesong.

“ALLAH berikan kita panduan dalam kehidupan ini, petunjuk sama ada pilih petunjuk daripada ALLAH atau sebaliknya dengan hawa nafsu. Maka itulah laluan yang kita pilih dalam kehidupan ini.

“Akibat kejahilan yang ada dalam diri masyarakat kita, mereka mudah terikut-ikut serta menerima bulat-bulat ajaran itu tanpa berfikir panjang,” katanya.

Katanya, selain itu amalan sihir dan khurafat yang digunakan pengamal ajaran sesat menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh.

“Kita tidak nafikan ada juga pengamal ajaran sesat ini menggunakan sihir bagi menarik minat orang ramai menyertai kumpulannya.

“Mereka juga mengajar dan menyampaikan ilmu yang mudah menyebabkan orang mudah tertarik dengan ajaran itu,” katanya pada program Wacana Al-Quran Siri 91 bertajuk ‘Ajaran sesat: Akibat mempertuhankan akal’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Program itu turut menampilkan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Bahagian Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Aizam Mas’od sebagai panelis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Farul Ismail dan qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan bacaan surah Al-Maidah ayat 3.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, umat Islam perlu mengambil tahu dan peka mengenai ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah terpesong.

“Kebiasaannya pengajian ajaran ini disampaikan secara rahsia, tidak disebarkan secara umum ataupun jumlahnya sedikit dan di tempat yang tersorok seperti hutan supaya maklumat berkaitan ajaran itu tidak sampai kepada pihak berkuasa.

“Dari sudut ajaran yang disampaikan pula ia bercanggah dengan pentafsiran yang disampaikan oleh ulama. Mereka mentafsir al-Quran mengikut akal, nafsu dan pemikiran semata-mata.

“Selain itu sifat taksub yang ada pada pengikut kerana mereka ini tidak akan menerima pandangan lain kecuali pemimpin yang ajar ajaran itu semata-mata,” katanya.

Justeru katanya, dalam memahami al-Quran dan hadis, perlu ada disiplin yang perlu difahami untuk mereka yang ingin menyampaikan ilmu-ilmu berkenaan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/125369/KHAS/#WacanaQuran/Golongan-profesional-pendidikan-tinggi-terjebak-ajaran-sesat