Ahmad Maslan pinjam kawan bayar RM1.1 juta – Peguam

Ahmad Maslan hanya mampu menjelaskan kompaun sebanyak RM1.1 juta – yang kemudian membawa kepada gugurnya kes mahkamah terhadap Setiausaha Agung Umno itu – selepas membuat pinjaman kepada rakan-rakannya.

Peguam yang mewakili Ahmad dalam perbicaraan tersebut menjelaskan situasi tersebut – yang dipersetujui bersama oleh pihak pendakwaan dan pembelaan – dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

“Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM 1,100,000 adalah (hasil) bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Ahmad sepanjang perjuangan beliau,” kata firma guaman Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq.

Ahmad Maslan pinjam kawan bayar RM1.1 juta - Peguam

Menjelaskan proses tersebut firma guaman itu juga berkata ia berlangsung sejak lama dulu dan pelbagai semakan dan usaha dibuat termasuk mengemukakan inkuiri kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawapan balas yang diberikan oleh SPR, katanya, mengesahkan Ahmad tidak terlucut kelayakannya sebagai ahli parlimen malah boleh kekal bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang meskipun dua membayar kompaun tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad daripada dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bernama melaporkan hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas timbalan pendakwa raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad.

Ketetapan itu dibuat selepas ahli parlimen Pontian berkenaan bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta semalam.

Menurut firma guaman berkenaan lagi persetujuan yang dicapai di antara pihak pendakwaan dan pembelaan adalah situasi menang-menang bagi menyelesaikan kes tersebut.

Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq juga mengingatkan semua pihak bahawa Ahmad sudah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah,.

“Perintah pelepasan dan pembebasan ini perlu dihormati semua pihak kerana ia merupakan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini,” katanya.

Firma guaman terbabit juga mengingatkan dengan pembayaran kompaun tersebut ia bukanlah bermakna Ahmad mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Kedua, proses penyelesaian ini dibuat menurut undang-undang telah melalui proses yang telus dan teratur.

“Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran, dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/593273

BACA JUGA : Ahmad Maslan bayar kompaun RM1.1 juta sebagai situasi menang-menang, bukan mengaku bersalah – Peguam

COMMENTS

Wordpress (0)