Ahmad Maslan bayar kompaun RM1.1 juta sebagai situasi menang-menang, bukan mengaku bersalah – Peguam

Penyelesaian bayaran kompaun RM1.1 juta kepada mahkamah bukan bermaksud pengakuan bersalah Ahmad Maslan terhadap dua pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau, tegas peguam yang mewakili Ahli Parlimen Pontian.

Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq berkata, proses penyelesaian itu juga tiada sebarang kaitan dengan faktor politik atau luaran serta tidak melibatkan mana-mana individu atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat.

“Penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang serta telah melalui proses yang telus dan teratur,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Maslan bayar kompaun RM1.1 juta sebagai situasi menang-menang, bukan mengaku bersalah - Peguam

Dalam pada itu, firma guaman berkenaan menegaskan jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Ahmad sepanjang perjuangan beliau.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas beliau membayar kompaun RM1.1 juta.

Mengulas lanjut, firma guaman itu menegaskan proses penyelesaian itu bukan satu proses baru.

Malah, katanya, proses penyelesaian berkenaan mengambil masa hampir setahun lebih sebelum ia diterima dan direkodkan di mahkamah pada hari ini.

“Beberapa siri representasi juga telah dimasukkan ke Jabatan Peguam Negara sepertimana pengetahuan umum yang dilaporkan di dalam media.

“Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan, timbang tara antara pihak yang berkenaan dan hanya direkodkan di mahkamah selepas dimuktamadkan oleh pihak-pihak.

“Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak bersedia untuk memberikan komitmen masing-masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui,” katanya.

Mengulas lanjut, firma itu berkata, pada 4 Feb 2021 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, pasukan pembelaan telahpun menulis suatu surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan penjelasan berkenaan status Ahli Parlimen dan kelayakan bertanding pilihan raya Ahmad selaras dengan Artikel 48A(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bagi isu pembayaran kompaun yang dikenakan ke atasnya.

Katanya, di peringkat ini, jelas bahawa anak guam bukan sahaja bersedia berdepan perbicaraan ke atasnya dan membuktikan ketidakbersalahannya di mahkamah, malah anak guam juga mencari jalan agar suatu jalan penyelesaian menang-menang boleh dicapai.

“Surat jawapan dari SPR berkenaan inkuiri kami di atas dijawab pada 5 Mei 2021 dengan jawapan yang positif bahawa anak guam di dalam membuat pembayaran kompaun (bukan denda mahkamah) tidak akan menjejaskan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dan tidak akan hilang kelayakan untuk bertanding kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang.

“Jawapan yang positif ini yang membawa kepada keputusan anak guam untuk menilai pembayaran kompaun sebagai jalan penyelesaian yang terbaik bagi kes ini,” katanya.

Firma guaman itu juga berharap dengan adanya pengenalan satu akta baru berkenaan pendanaan politik, tiada lagi pendakwaan atau tindakan dikenakan terhadap penerima di mahkamah pada masa depan.

“Keputusan banyak kes oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang melepaskan wang yang telah disita di dalam kes-kes sitaan yang mana bersumber dari dana politik yang sama adalah adil.

“Ahmad Maslan berharap agar suatu masa nanti, kes yang dikompaun juga akan dibebaskan,” katanya.

Pada Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 23 hari bermula 7 hingga 9 Jun dan 13-15 Jun, 18-21 Julai dan 25-28 Julai serta 15-19 Ogos dan 22- 25 Ogos 2022 untuk perbicaraan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu di atas semua pertuduhan tersebut dan memohon untuk dibicarakan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/29/penyelesaian-bayaran-kompaun-tak-bermakna-ahmad-maslan-mengaku-bersalah-kata-peguam/

BACA JUGA : Terkini !!! Ahmad Maslan dibebaskan daripada 2 tuduhan gagal isytihar RM2 juta, penyataan palsu

COMMENTS

Wordpress (0)