Ahli Makin Keliru : Selagi Hadi masih ada, ramai yang akan lari supaya tidak ikut gila

Ahli Makin Keliru : Selagi Hadi masih ada, ramai yang akan lari supaya tidak ikut gila

Politik Malaysia telah masuk ke suatu fasa baharu yang lebih mencabar.

Pada 4 Mac 2021, genap lima tahun selepas penyelarasan semula melalui Deklarasi Rakyat, dua parti dalam gabungan Perikatan Nasional iaitu Bersatu dan Umno, telah secara rasminya melafazkan talak dan berikrar untuk saling menentang pada pilihan raya umum akan datang.

Hasil penyelarasan semula pada 4 Mac 2016, antara pemberontak dalam Umno terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti-parti pembangkang asal terutamanya Lim Kit Siang dari DAP, kerajaan satu parti yang korup dan mereput di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tumbang pada 9 Mei 2018.

Dalam sebuah demokrasi normal, apabila sebuah parti kerajaan tewas dalam pilihan raya, pemimpinnya yang tertolak akan mengundurkan diri bagi memberi ruang pembaharuan. Pemimpin baharu memainkan peranan pembangkang konstruktif dengan cita-cita untuk menang dalam pilihan raya berikutnya.

Tetapi Najib dan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu melepaskan kuasa. Sejak Oktober 2018, Umno bersama-sama PAS telah melancarkan kempen untuk menghancurkan segalanya. Menteri Luar Pakatan Harapan ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa ratifikasi ICERD, yang membuka peluang kepada Khairy Jamaluddin (kononnya progresif) untuk mendakwa bahawa tindakan terbabit adalah anti-Melayu. Sebuah perhimpunan besar-besaran berlangsung pada 8 Disember 2018, dan mengukuhkan perpaduan antara Umno dan PAS, yang diijab kabul secara rasmi pada Oktober 2019.

Tujuannya adalah untuk merampas kuasa di pertengahan jalan, bukan melalui pilihan raya. Untuk menang pilihan raya, mereka perlu memujuk hati pengundi seluruh populasi berbilang kaum. Suatu gabungan Melayu sahaja tidak boleh memenangi pilihan raya, dan ini telah saya khabarkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Februari, pertemuan terakhir saya dengannya.

Perceraian rasmi antara Bersatu dan Umno pada 4 Mac 2021 adalah suatu gerak gempa yang akan mengundang kesan berlanjutan:

Pertama, Umno akan berpecah.

Umno sekarang berada pada saat-saat genting dan amat menarik untuk diperhatikan. Saya telah lama berhujah bahawa apabila sebaik sahaja Umno hilang kuasa pada 2018, parti tersebut patut mencontohi Golkar di Indonesia untuk belajar bagaimana ia dapat mandiri buat jangka masa panjang. Golkar terus kekal relevan dan memenangi 1/5 jumlah undi di setiap pilihan raya Indonesia pasca Reformasi. Umno perlu terlebih dahulu membuang pemikiran parti ‘taikor’ (abang besar) yang menyebabkan ia percaya ia berhak memerintah sejak dari lahir. Umno perlu belajar untuk bersaing dalam sebuah demokrasi normal tanpa bantuan jentera kerajaan dan wang ringgit.

Pun begitu, kini setelah Bersatu bersedia menggunakan kekuatan penuh jentera kerajaan untuk menghabiskan Umno, Umno memasuki suatu fasa perang saudara bagi menentukan siapa akan menguasai Umno. Mereka yang menyokong Muhyiddin akan mahu menghapuskan golongan yang menentang Muhyiddin. Jika pemimpin pro-Muhyiddin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa menjadi juara, Umno akan menjadi pesuruh Muhyiddin yang taat setia, manakala mereka yang tewas akan meninggalkan parti itu secara berjemaah.

Namun situasi yang paling mungkin ialah mereka yang menentang Muhyiddin yang akan menang. Antara mereka yang menentang Muhyiddin adalah pemimpin seperti Najib, Zahid dan kluster mahkamah yang bermasalah kerana golongan Melayu sederhana masih tidak boleh menerima mereka. Mereka yang anti-Bersatu akan perlu membuat keputusan siapakah yang akan mengepalai Umno menuju PRU apabila Umno perlu berkempen sebagai parti pembangkang tanpa bantuan jentera kerajaan dan tidak begitu banyak wang berbanding ketika ia menjadi kerajaan.

Kedua, PAS akan terpaksa memilih

Saya berani jamin bahawa selagi mana Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih ada, kebanyakan pemimpin utama PAS akan terus kekal bersama Muhyiddin walaupun ada segelintir yang terus mendesak untuk bekerjasama dengan Umno, meski gagal. Sejak para progesif meninggalkan parti itu pada 2015, PAS tidak lagi memiliki ‘aset’ untuk bertanding secara realistik di negeri-negeri luar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Justeru itu, kepimpinan PAS sekarang hanya mahu kekal dominan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Umno telah menjadi seteru utama PAS di negeri-negeri ini sepanjang 60 tahun lampau, manakala Bersatu hampir tidak ada tapak di sana. Ertinya Bersatu mungkin menyerahkan kesemua kerusinya di Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada PAS. Dalam sifir PAS, selagi mana parti itu boleh menang 30 kerusi Parlimen, ia akan menjadi ‘kingmaker’ dalam mana-mana kerajaan.

Risikonya ialah dalam pertembungan satu lawan satu dengan Umno di Kelantan, PAS yang telah menjadi kerajaan sejak 1990, mungkin kehilangan kuasa dan justeru menjahanamkan strategi kingmaker itu tadi. Pada PRU 2018, PAS berkempen di Kelantan menentang korupsi Najib dan kebanyakan undi yang diterima PAS adalah daripada pengundi luar yang pulang ke kampung untuk mengundi menolak Najib.

Jika ayunan undi Melayu kini didorong kemarahan terhadap Muhyiddin, PAS ternyata berserah dalam bahtera yang sedang karam. Ramai penyokong dan ahli akar umbi yang akan keliru, antaranya akan melompat meninggalkan bahtera itu supaya tidak ikut gila.

Ketiga, Bersatu seperti seorang pesakit yang sedang nazak tetapi memegang senapang di tangan dan berbakul-bakul emas di sisi katil hospitalnya.

Kerajaan Perikatan Nasional sekarang berada di zon bahaya, seperti kerajaan Najib pada suku terakhir 2017. Tiada yang boleh ia lakukan untuk mendapat sokongan. Undi ‘swing’ telah membentuk persetujuan bahawa ini adalah kerajaan yang mahu dibakulsampahkan. Soalnya, bagaimana?

Sementara tiada pengundi ‘swing’ akan mahu mengundi Perikatan, berbanding Najib pada 2018, Perikatan ada masalah tambahan: ia tidak mempunyai tapak sokongan berbanding Umno di bawah Najib yang masih berjaya memenangi satu-pertiga daripada jumlah undi keseluruhan.

Apa yang akan dilakukan Bersatu? Parti kerajaan ini ada kuasa dan wang, tetapi ia tidak disukai pengundi. Bahayanya ialah parti ini akan menggunakan apa sahaja upaya yang ada untuk terus memerintah. Umno mungkin perlu menjangkakan bahawa partinya akan diharamkan. Lebih ramai wakil rakyat akan dibeli. Darurat akan dilanjutkan lebih lama lagi. Lebih ramai pemimpin pembangkang akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan yang entah apa-apa.

Malaysia akan perlu bertahan menghadapi gempa susulan 4 Mac 2021. Tetapi seperti mana-mana tragedi gempa bumi, ia merupakan peluang untuk membina semula dengan lebih baik.

Sumber : https://liewchintong.com/ms/2021/03/05/gerak-gempa-pasca-4-mac/