Agong setuju terima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat – Khalid

Agong setuju terima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat – Khalid

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk menghadap baginda.

Menurut sumber yang rapat dengan jawatankuasa itu, sepucuk surat dari Istana Negara telah dikirim pagi ini kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang merupakan jurucakap jawatankuasa berkenaan.

Surat bertarikh hari ini tersebut menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong telah berkenaan untuk menghadap dengan jawatankuasa tersebut agar mereka dapat menyerahkan memorandum.

Majlis menghadap itu akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.

Malaysiakini telah menghubungi Khalid, yang mengesahkan perkara itu.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini pada pukul 2 petang,” katanya.

Selasa lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Khalid hadir ke Istana Negara bagi membuat permohonan itu.

Ia bagi memohon Seri Paduka menamatkan darurat yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada kadar segera.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, memperkenan sebuah kumpulan untuk menghadap baginda bagi memohon penamatan segera darurat.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Samad, berkata tarikh untuk jawatankuasa itu menghadap Tuanku akan dimaklumkan kemudian oleh pihak Istana.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pagi ini saya telah menerima warkah daripada Istana Negara yang memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk menerima menghadap Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat untuk menyerah petisyen agar darurat ditamatkan,” katanya dalam kenyataan.

“Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata “kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari”, sejak diisytiharkan Januari lalu, dan patut ditamatkan secepat mungkin, tanpa menunggu sehingga 1 Ogos.

Selasa lalu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata cara pewartaan darurat pada Januari lalu oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin menunjukkan seolah-olah segala pelaksanaannya dibuat atas perintah Agong, sekali gus menyebabkan rakyat marah kepada Istana sedangkan nasihat yang diberikan kepada Agong oleh kerajaan tidak tepat.

“Adalah penting untuk ini (sentimen rakyat) disampaikan kepada Agong. Jika tidak, mereka (kerajaan) mungkin melakukan sesuatu yang boleh menambahkan lagi kemarahan rakyat,” katanya.

Ramai pihak, termasuk Mahathir, pembangkang dan kalangan pemimpin Umno sendiri, menuduh Muhyiddin memberikan gambaran salah untuk meyakinkan pihak Istana keperluan darurat.

Mereka mendakwa, darurat memberi kuasa luas kepada Perdana Menteri dan kerajaan untuk melakukan apa yang perlu bagi mengekalkan kuasa ketika keabsahan kerajaan dipertikaikan.

Antara lain, perisytiharan darurat menyebabkan Parlimen tidak boleh bersidang dan pilihan raya umum tidak boleh diadakan.

Kerajaan menafikan tuduhan itu dan menegaskan negara perlu diletakkan bawah darurat untuk membolehkan tindakan lebih berkesan diambil bagi menangani wabak Covid-19.

 

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/571708