Adun UMNO Nak Wayang Dibuka Semula Di Kelantan

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan meminta kerajaan negeri pimpinan Pas membenarkan panggung wayang dibuka dan beroperasi semula di negeri ini setelah hampir 30 tahun diarah tutup oleh kerajaan negeri.
Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata, kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.
“Ketika ini rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu,  negeri paling dekat  yang mempunyai panggung wayang.
“Kalau Terengganu membenarkan perkara itu (membuka panggung wayang) saya ingin mencadangkan agar panggung wayang di negeri ini dibuka semula ,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V  pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Kali terakhir Kelantan mempunyai panggung wayang ialah sebelum Pas mengambil alih negeri ini daripada BN pada 1990 iaitu Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama di sini. – Bernama